PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memperhebat usaha membanteras kegiatan pembuangan sampah haram dengan mengagihkan 16 tong sampah individu kepada penduduk di Lo Ti Kong, Batu Kawa, hari ini.
Pengerusinya, Kaunselor Tan Kai berkata, inisiatif itu sebahagian daripada usaha berterusan MPP meningkatkan pengurusan sisa pepejal dan mengurangkan kejadian pembuangan sampah secara haram di kawasan pentadbirannya.
“MPP memandang serius penyediaan perkhidmatan perbandaran kerana ia memberi kesan secara langsung kepada persekitaran dan kesejahteraan penduduk.
“Keadaan seperti ini tidak boleh dibiarkan berterusan dan majlis akan terus memantau lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menanganinya,” katanya ketika menyerahkan tong sampah berkenaan.
Menurutnya, kegiatan pembuangan sampah haram bukan sahaja menjejaskan kebersihan dan imej kawasan kediaman serta premis perniagaan, malah mengundang risiko terhadap kesihatan awam, alam sekitar dan keselamatan.
Katanya, antara cabaran utama MPP ialah kesukaran kenderaan kutipan sampah memasuki kawasan perumahan lama, kampung dan taman perumahan yang mempunyai jalan sempit serta ruang kenderaan melakukan putaran terhad.
Tan turut memaklumkan kewujudan kabel komunikasi dan talian elektrik di bahagian atas jalan sempit mengehadkan pergerakan serta operasi kenderaan kutipan sampah bersaiz besar.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk terus bekerjasama dengan MPP dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan kejadian pembuangan sampah haram di kawasan masing-masing supaya tindakan segera dapat diambil.
Beliau menegaskan MPP akan terus memantau keadaan berkenaan dan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan kawasan Padawan kekal bersih, selamat dan kondusif untuk didiami.

