KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memperkenalkan inisiatif ‘Fast Lane’ yang bertujuan menarik lebih banyak pembangunan perindustrian dan komersial ke kawasan di bawah bidang kuasanya.
Menurut satu kenyataan daripada MPP hari ini, inisiatif itu didedahkan semasa Bengkel Perancangan Strategik MPP yang dijalankan pada Januari lalu, yang menawarkan pendekatan mesra pelabur dan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan membuka potensi kawasan Padawan.
“Dengan memperkemaskan proses kelulusan pelan bangunan, MPP menyasarkan untuk mengurangkan masa yang diperlukan untuk kelulusan yang dikira dari hari pendaftaran pelan.
“Garis masa yang dipercepatkan ini akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan dan memberikan kelebihan daya saing bagi perniagaan yang memilih untuk melabur di kawasan Padawan,” katanya.
Dalam pada itu, MPP berkata bahawa mereka akan berhubung dengan pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) bagi memastik pelaksanaan dasar baharu itu berjalan lancar.
Tambahnya, mereka juga akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menangani halangan dan kebimbangan, mengumpulkan input penting, serta memupuk persekitaran yang menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut.



