KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran yang lebih mesra, inklusif dan menyokong perkembangan kanak-kanak di kawasan pentadbirannya melalui kerjasama dengan organisasi komuniti serta pihak berkepentingan.
Pengerusinya, Cr. Tan Kai berkata komitmen MPP menjadi sebuah perbandaran mesra kanak-kanak bermula dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UNICEF menerusi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) pada 2023, diikuti pengiktirafan sebagai Calon Bandar Mesra Kanak-Kanak pada 2025.

Sejak itu, katanya, MPP giat meneroka pelbagai inisiatif dan peluang untuk menjadikan Padawan sebagai tempat yang lebih baik bagi kanak-kanak membesar, belajar, mengekspresikan diri serta mencapai potensi penuh mereka.
“Menjadi mesra kanak-kanak bukan sekadar menyediakan kemudahan seperti taman permainan. Ia juga bermaksud memastikan tempat kanak-kanak tinggal, bermain dan membesar adalah selamat, inklusif dan menyokong keperluan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena Ceramah Sokongan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas: Daripada Penilaian Kualiti Tidur Kepada Pelan Sokongan dan Program Intervensi bagi Autisme dan Sindrom Down yang dianjurkan oleh Special Olympics Sarawak Cawangan Kuching.
Tambahnya, program yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak berkeperluan khas itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), khususnya prinsip memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir.
“Setiap kanak-kanak seharusnya mempunyai peluang untuk membesar, belajar dan mengambil bahagian dalam persekitaran yang inklusif.
“Usaha ini juga memerlukan pelibatan bukan sahaja daripada pihak Majlis, tetapi juga ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan masyarakat secara keseluruhannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji Dr. Vera Zhou dan pasukannya kerana membawa teknologi, pengetahuan dan kemahiran dari China untuk memberi manfaat kepada komuniti tempatan, khususnya dalam menyokong kanak-kanak berkeperluan khas.
Menurutnya, MPP mengalu-alukan lebih banyak NGO dan persatuan komuniti untuk bekerjasama dengan pihak Majlis dalam menyokong serta membimbing kanak-kanak dan golongan belia di Padawan.
“MPP berbesar hati untuk menyokong inisiatif bermakna yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan kanak-kanak serta belia kita,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa dengan Kerajaan Sarawak menyediakan peluang pendidikan tinggi secara percuma, perhatian lebih besar juga perlu diberikan kepada persediaan kanak-kanak dan golongan belia bagi menghadapi masa depan sekali gus membolehkan mereka mengembangkan potensi dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Program tersebut juga merangkumi sesi perkongsian mengenai intervensi awal dan kaedah menyokong kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya kanak-kanak autisme dan Sindrom Down.
Peserta turut diperkenalkan kepada teknologi penilaian terkini yang dibawa dari China, yang boleh membantu dalam menilai dan memahami keperluan kanak-kanak.
Terdahulu, majlis perasmian program tersebut disempurnakan Presiden Special Olympics Sarawak Cawangan Kuching, Datin Dayang Mariani Abang Zain, manakala majlis penutupan disempurnakan Tan Kai.

