KUCHING: Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Betong dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2026 selepas menumpaskan MSSB Samarahan (1-0) pada aksi final yang berlangsung di Stadium Taha Ariffin semalam.
Sekali gus, kejayaan itu melayakkan mereka bersaing di Petronas Youth Football Champions League (PYFCL) yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 13 Disember depan.
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Datuk Omar Mahli berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu perlu terus diperkasakan sebagai pelaburan strategik jangka panjang dalam membangunkan bakat sukan serta modal insan anak Sarawak, khususnya di peringkat akar umbi.
“Setiap pemain harus diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya untuk menunjukkan kebolehan dan potensi mereka.
“Bakat yang dikenal pasti pula perlu dibimbing secara berterusan melalui latihan yang sistematik, program pembangunan yang tersusun dan pendedahan kepada pertandingan yang lebih kompetitif,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Pertandingan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2026 di Stadium Taha Ariffin, semalam.
Kejohanan enam hari itu menghimpunkan 12 pasukan MSSB melibatkan 240 pemain, 116 pegawai pasukan serta 200 ahli jawatankuasa pengelola dalam kalangan warga pendidikan.
Dalam pada itu, tempat ketiga dimiliki MSSB Sarikei manakala MSSB Limbang menduduki tempat keempat.
Sementara itu, MSSB Betong turut mendominasi anugerah individu perlawanan akhir apabila Mohamad Shahrizan Buang dinobatkan sebagai penerima anugerah Penjaga Gol Terbaik Perlawanan Akhir dan Muhammad Fariqh Dzulhaslami Abdullah dipilih sebagai penerima anugerah Pemain Terbaik.
Anugerah Penjaring Terbanyak pula dikongsi dua pemain iaitu Danish Darren Edruce (MSSB Limbang) dan Fedrick Ekih Mathew (MSSB Betong) yang masing-masing menjaringkan lima gol.
Ashraff Kifraiee daripada MSSB Samarahan menerima Anugerah Pemain Harapan, manakala MSSB Miri menerima Anugerah Fair Play.
Kejohanan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Yayasan Sarawak itu bertujuan menyediakan platform kompetitif kepada murid berusia 13 hingga 16 tahun untuk menggilap bakat bola sepak serta membuka laluan ke peringkat yang lebih tinggi.

