MUKAH: Squad Rhinos memulakan kempen Liga Setia Raja MUFA 2026 (LSRM 2026) dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Jepak dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Mukah semalam.
Sentuhan dua penyerang berpengalaman, Mohamad Haizal Morsidi dan Aoran Wan Naong, menyumbang tiga mata mutlak buat juara tiga kali itu menerusi gol pada minit ke-50 dan ke-74.

Sekali gus, kemenangan itu merealisasikan misi awal kem kendalian Sahran Abdul Samad untuk mencatat kemenangan sulung.
Aksi babak pertama memperlihatkan rentak setara dipamerkan kedua-dua pasukan apabila terikat tanpa jaringan.
Namun, segalanya berubah apabila gerakan lebih agresif dilancarkan pada babak kedua dan memastikan Squad Rhinos memperoleh dua gol itu.
“Permulaan baik bagi kami pada perlawanan buka tirai kempen LSRM 2026 semalam apabila berjaya beroleh kemenangan yang menjurus kepada perolehan tiga mata berharga.
“Tahniah dan syabas kepada pemain kerana telah melaksana tugas mereka dengan begitu sempurna sekali,” ujar Sahran kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau mengakui barisan kesebelasan utama yang dipertaruhkannya diberi tentangan cukup sengit di babak pertama.
Namun, pasukan itu berjaya menemui rentak untuk mengekang keinginan lawan pada babak kedua.
Menurut Sahran, beliau mengharapkan pemainnya dapat mengekalkan momentum itu pada perlawanan kedua menentang Kakwok FC di Padang SSC pada 5 Disember depan.
Semalam turut berlangsung Majlis Perasmian LSRM 2026 yang disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Mukah, Nolin Anak Gendang.
LSRM 2026 menghimpunkan 12 pasukan yang mewakili pelbagai kelab handalan sekitar Mukah selain kelab dari Bintulu dan Miri.
Pasukan terlibat dibahagikan kepada tiga kumpulan.
Kumpulan A menghimpunkan juara tiga kali, iaitu Squad Rhinos, selain Jepak, Kakwok FC dan Auslander FC.
Empat pasukan Kumpulan B ialah TNG Legacy FC, Sesuka FT, Press Metal Sarawak dan Annur 95 2.0.
Manakala, pasukan Kolekxmedic, KV Miri FC, Leetonia JR dan HG77 diundi berada dalam Kumpulan C.
Saingan LSRM 2026 menyaksikan hadiah wang tunai keseluruhan RM33,000 menanti pasukan terbaik.
Pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima wang tunai RM15,000 beserta piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Naib juara akan menerima wang tunai RM8,000 selain piala dan pingat.
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM5,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
LSRM 2026 dianjurkan oleh MUFA dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen P213 Mukah.




