Pengorbanan, persoalan kehidupan yang diteruskan
APABILA hemisfera mengalami kerakan, ancaman pencemaran memasuki ruang perlindungan. Haiwan bergerak menjauhi bahaya, udara berubah dan kelangsungan pulau terancam.
Ketika itulah hubungan tubuh Eliy dengan infrastruktur pulau menjadi penentu. Tenaganya boleh memulihkan benteng tetapi proses itu akan memusnahkan tubuhnya.
Keselamatan ekologi dipertemukan secara langsung dengan kehilangan seorang individu.
Keputusan itu tidak boleh dipadankan sebagai tindakan pasif. Eliy memahami bahawa dan menyatakan bahawa tindakannya turut dilakukan demi kehi dupan di pulau, bukan keselamatan manusia sahaja (halaman 152).
Pilihan itu memperlihatkan keberanian dan lingkungan keputusan yang luas. Dalam Beasts of Burden, Taylor (2017) menghubungkan persoalan nilai kehidupan dengan perbezaan keupayaan serta hubungan manusia dan haiwan.
Pembacaan tersebut membantu menghargai keluasan tindakan Eliy tanpa mengehadkannya kepada jasa terhadap manusia.
Walaw bagaimanapun, pilihan watak perlu dibezakan daripada pilihan yang diambil pengarang dalam menyusun jalan keluar. Eliy memilih dalam keadaan yang sudah menyinkirkan alternatif lain.
Feri tidak cukup pantas, perlindungan lain dianggap tidak selamat dan tenaganya menjadi harapan terakhir.
Pada peringkat pembinaan plot, persoalannya ialah mengapa watak yang pernah dipaksa berubah akhirnya juga memikul beban menyelamatkan semua orang. Daya pemulihnya nyata tetapi berjaku dalam ruang yang amat sempit.
Pertanyaan kepada ayahnya tentang kebanggaan sebelum dia terjun ke laut (halaman 153) telah menambah kerumitan.
Walaupun Eliy berdiri atas pilihan ya sendiri demi keselamatan bersama, dia masih mengharapkan pengiktirafan ayahnya.
Pengorbanan tidak terpisah sepenuhnya daripada sejarah penolakan. Keperwiraan Eliy dengan demikian mempunyai harga psikologi: dia menyelamatkan pulau sambil masih membawa harapan untuk diterima oleh orang yang sepatutnya menerima dirinya sejak awal. Kata terakhirnya, “Aku istimewa” (halaman 154), boleh dibaca sebagai pengesahan nilai diri yang akhirnya tidak lagi menunggu jawapan ayah.
Namun, kedudukannya pada ambang kematian juga membuka pembacaan yang lebih gelisah. Pengiktirafan diri itu mencapai kemuncak ketika kemungkinan hidup kembali.
Novel mengangkat pengorbanan Eliy sebagai bukti keberaniannya, namun kematiannya menutup peluang untuk dia meneruskan hidup dalam kasih sayang dan penerimaan orang sekeliling. Pembacaan ini tidak bermaksud bahawa kematian watak OKU sentiasa salah atau pengorbanan Eliy tidak bermakna.
Yang dinilai ialah susunan keseluruhan: pengubahan tubuh tanpa persetujuan yang jelas, tuntutan menjadi hebat dan pengakhiran yang menghubungkan keselamatan ramai dengan kehilangan dirinya.
Dalam susunan tersebut, maruah berisiko untuk diterjemahkan melalui kemampuan memberi manfaat yang paling besar.
Pemulihan masih tinggalkan kehilangan
Dalam epilog, para peserta kembali menjalani kehidupan masing-masing, manakala pihak yang melakukan jenayah menerima hukuman penjara.
Benih bakau turut diagihkan kepada peserta agar ilmu pemuliharaan yang dipelajari dapat diamalkan di tempat tinggal mereka.
Pengakhiran benih bakau menandakan peralihan daripada penguasaan sumber demi keuntungan kepada perkongsian untuk memulihkan alam.
Namun, pulihnya pulau tidak mengembalikan cita-cita galeri Eliy. Pemulihan alam meninggalkan kehilangan peribadi yang tidak boleh diselesaikan melalui penghargaan atau hukuman terhadap penjahat.
Surat beran dan tangan Eliy pada penghujung cerita membuka kemungkinan pengembangan baharu. Namun, kemudian surat itu belum membuktikan bahawa Eliy masih hidup.
Isyarat tersebut boleh dibaca sebagai kesinambungan misteri dan pengaruh Eliy terhadap sahabatnya. Kehadiran surat itu tidak menghapuskan kesedihan akibat pengorbanan Eliy.
Pembaca diberi harapan tentang nasibnya, namun kehilangan yang dialami oleh sahabat-sahabatnya masih belum terjawab.
Penutup
Pembacaan melalui kerangka Disabled Ecologies memperlihatkan hubungan antara kemusnahan alam dengan penguasaan terhadap tubuh dalam Rhizopora.
Keinginan Pak Suwardi menguasai benih bakau sejajar dengan tindakannya mengubah Eliy supaya memenuhi ukuran kehebatan yang diharapkannya.
Keputusan Profesor Erman pula menunjukkan bahawa nilai menjaga seseorang boleh mengetepikan kehendak individu tersebut.
Persoalan etika novel ini dengan demikian merangkumi tanggungjawab terhadap alam serta penghormatan terhadap hak manusia menentukan kehidupannya sendiri.
Kekuatan novel terletak pada penggambaran Eliy sebagai individu yang mempunyai minat, cita-cita dan keberanian untuk menentukan arahnya.
Namun, penyelesaian cerita menimbulkan ketegangan apabila keselamatan bersama bergantung pada pengorbanannya.
Keberanian Eliy wajar dihargai tetapi pilihan pengarang menjadikan kehilangan dirinya sebagai satu-satunya jalan penyelesaian tepat berlaku pada kritikal.
Kemunculan surat pada penghujung novel menawarkan harapan tanpa mengesahkan nasibnya.
Kerangka Taylor memperluas penilaian terhadap pemulihan alam dengan menanyakan siapa yang menanggung harganya dan siapa yang berpeluang menikmati hasilnya.
Melalui sudut itu, kejayaan menyelamatkan Pulau Bakau belum menyelesaikan persoalan penerimaan terhadap Eliy.
Pemulihan yang lebih adil seharusnya turut mendedikasikan ruang untuk individu seperti Eliy meneruskan kehidupan, mengembangkan bakat dan menerima kasih sayang tanpa perlu memulihkan nilai diri melalui pengorbanan luar biasa.



