PERTAHANANKU mendadak goyah. Diam yang selama ini kucuba untuk meredam semua emosi lambat-laun mulai terhakis. Aku menyerah. Bukan menyerah pada keadaan yang membuat hidupku terasa pahit, melainkan mempertahankan apa-apa yang selama ini kupendam. Seperti bara di dalam sekam.
Aku tidak ingin sesuatu dapat meledak dalam diriku. Untuk itulah aku menceritakannya, menceritakan api dalam diri. Agar semua orang tahu atau agar diriku lebih berhati-hati dan sentiasa berjaga apabila emosiku di luar kendali. Aku yakin pasti boleh mengendalikan itu semua. Sekali lagi, untuk itulah alasan aku menceritakannya.
***
Satu hal yang selalu diidamkan bagi seseorang perantau iaitu dapat pulang ke kampung halaman. Namun bagiku suatu dilema. Antara senang atau tidak. Bak kiasan Minang “antaro sabak jo gadang ati” (antara sebak juga berbesar hati). Kedua-duanya menghimpun sama banyak.
Akhirnya rasa rindu menjadi muara dari kekalutan itu semua. Aku rindu menapaki kembali jalanan yang dulu pernah kulalui dengan kaki kecilku kala itu. Membelah semak belukar mencari ragam keriangan selayaknya anak kampung.
Aku juga rindu dengan celoteh ibu di kala menanak nasi sambil menyiapkan lauk sedaunya. Aku rindu semua itu. Rasa rindu itu pula akhirnya meleraikan hatiku untuk kembali pulang dari tanah perantauan. Sekarang aku sudah dewasa. Bertambahnya usia menjadikan aku dapat membimbang dalam menangani segala hal, baik yang sudah terjadi mahupun yang akan terjadi. Ya, yang akan terjadi di luar jangkaan nanti. Tapi perasaanku sudah hilang. Kehangatan itu semakin jauh dari jangkauan.
Aku ikhlas merelakan semua mimpi untuk mengulang kenangan itu kembali. Hilang dan pergilah serupa angin yang berhembus. Aku membiarkannya pergi, sebagaimana diriku pergi ke mana pun angin akan membawa. Mencari kecewaan baru di tempat aku diterima. Bahkan selalu ditunggu kehadiranku di sana.
***
Jangan ditanya bagaimana rasanya jika khabar kepulangan dari rantau sudah diberitahu, namun hanya beberapa langkah menuju rumah dan pintu itu terkunci dari luar. Tiada sesiapa pun yang menunggu. Aku kehilangan di kala ia bukan pergi, kehilangan tetapi ia ada. Aku berusaha tersenyum dalam perih dan berkali-kali mencuba berdamai dengan keadaan itu.
Halaman rumah tampak gersang. Serupa hatiku kala itu. Sejenak aku terdiam merenung panjang. Entah berapa lama jarak telah menjauhkan aku dengan sebuah kata rindu. Kata yang mudah diucapkan, namun sukar dilakukan.
Ke mana pelukan yang sehangat dulu? Segala pertanyaan tak lagi memerlukan jawapan. Sebagaimana berrtanya menanggung kerinduan, lebih berat lagi rindu yang tak berbalas. Siang itu aku menitipkan doa agar hatiku selalu terjaga. Menjaganya agar tidak rapuh, memeluknya dengan kesunyian yang berkali-kali membujuk. Akhirnya, air mata itu jatuh juga. Membasahi kenangan, mencuba menghapus harapan.
Namun, aku masih berharap. Kalau pun bukan di sini, ada tempat yang selalu menjaga harapanku kian tumbuh. Kubiarkan apa-apa yang dulu kutanam tak memberi kesan, gersang dan hilang. Di tempat lain jemariku menanam benih harap dan ingin selalu tumbuh.
Aku tabahkan diri ketika daunku berguguran, aku kuatkan hati ketika ranting cita-citaku patah. Asalkan akar semangatku tidak terlepas daripada doa-doa yang membaja.
Cerita ini telah lama kusimpan rapat. Aku tetap akan pulang walau tidak akan dikenang dan aku tetap juga akan pergi walau tidak akan ditangisi. Biarlah terbiar, membiar menjadi besar. Aku telah banyak belajar bahawa roda nasib sentiasa berputar. Allah menguatkan pada setiap episod hidup yang mencabar.

