MALAYSIA terus memperlihatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, sekali gus mencerminkan keupayaan negara mengelakkan momentum pertumbuhan dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Pencapaian tersebut bukan sahaja menggambarkan kekuatan asas ekonomi negara, malah memperlihatkan keberkesanan penggunaan domestik, pelaburan dan perdagangan antarabangsa sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, berbanding 4.8 peratus bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan 0.8 mata peratusan ini memberikan gambaran bahawa ekonomi Malaysia masih berada pada landasan pertumbuhan positif, meskipun berhadapan ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan antarabangsa dan tekanan kos pengeluaran.
Lebih penting, prestasi tersebut menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bukan sahaja bergantung pada satu sektor, sebaliknya disokong gabungan permintaan domestik, aktiviti pelaburan dan prestasi sektor luaran.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada prestasi ekonomi negara ialah kekuatan permintaan domestik, khususnya penggunaan isi rumah yang terus berkembang.
Pada suku ketiga 2026, penggunaan swasta meningkat 4.3 peratus, disokong keadaan pasaran pekerjaan yang menggalakkan, pertumbuhan pendapatan dan peningkatan perbelanjaan pengguna.
Dari perspektif makroekonomi, penggunaan isi rumah merupakan komponen penting dalam menentukan tahap permintaan agregat sesebuah negara.
Apabila isi rumah mempunyai pendapatan stabil dan keyakinan terhadap prospek ekonomi, kecenderungan berbelanja akan meningkat, sekali gus merangsang pengeluaran barangan dan perkhidmatan.
Kesan ini turut menghasilkan limpahan ekonomi kepada sektor peruncitan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bagaimanapun, pertumbuhan penggunaan itu disokong peningkatan pendapatan benar supaya perbelanjaan rakyat tidak terlalu bergantung pada penggunaan kredit atau pertambahan hutang isi rumah.
Perkukuh pasaran
Oleh itu, usaha kerajaan memperkukuh pasaran pekerjaan dan meningkatkan produktiviti perlu diteruskan bagi memastikan pertumbuhan penggunaan domestik kekal mampan. Selain penggunaan domestik, prestasi pelaburan turut menjadi antara penyumbang penting pertumbuhan ekonomi negara.
Pelaburan awam mencatatkan peningkatan 9.4 peratus, manakala aliran pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM14.3 bilion berdasarkan maklumat ekonomi yang diterbitkan.
Perkembangan ini memberikan petunjuk positif terhadap keyakinan pelabur dan potensi pengembangan kapasiti pengeluaran negara.
Dalam jangka panjang, pelaburan berkualiti berupaya meningkatkan produktiviti, mempercepat pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Namun begitu, jumlah pelaburan semata-mata tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal kejayaan ekonomi.
Aspek yang lebih penting ialah sejauh mana pelaburan tersebut mampu menghasilkan nilai tambah domestik, meningkatkan penggunaan teknologi tempatan dan memperkukuh rantaian bekalan industri.
Dalam sektor perdagangan antarabangsa pula, Malaysia terus mencatatkan prestasi positif apabila eksport bersih barangan dan perkhidmatan berkembang 5.7 peratus.
Prestasi eksport turut disokong permintaan global terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya yang berkaitan perkembangan industri teknologi dan semikonduktor.
Pada September lalu, nilai eksport Malaysia dilaporkan mencapai RM215.1 bilion berdasarkan infografik Kementerian Kewangan yang menyifatkannya sebagai rekod bulanan tertinggi.
Perkembangan ini memperlihatkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu peserta penting dalam rantaian bekalan teknologi global.
Bagaimanapun, kebergantungan terhadap permintaan antarabangsa turut mendedahkan ekonomi negara kepada risiko perubahan dasar perdagangan, ketegangan geopolitik dan kelembapan ekonomi negara rakan dagang utama.
Justeru, kepelbagaian pasaran eksport serta pembangunan industri berteknologi tinggi perlu diberikan perhatian bagi mengurangkan risiko luaran.
Satu lagi perkembangan yang menggalakkan ialah kestabilan harga dan keadaan pasaran pekerjaan negara.
Kadar inflasi Malaysia dilaporkan berada pada paras 1.8 peratus pada September lalu, manakala kadar pengangguran mencatatkan 2.9 peratus.
Guna tenaga
Pada masa sama, jumlah guna tenaga negara mencapai 16.82 juta orang pada suku ketiga tahun ini. Gabungan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inflasi yang sederhana dan kadar pengangguran yang rendah memberikan gambaran bahawa ekonomi Malaysia sedang menikmati keadaan makroekonomi yang relatif stabil.
Dari sudut teori ekonomi, pertumbuhan yang disertai kestabilan harga membolehkan isi rumah dan firma membuat keputusan berkaitan penggunaan serta pelaburan dengan lebih yakin.
Namun, kadar inflasi yang rendah tidak semestinya bermaksud harga barangan kembali ke paras sebelumya. Inflasi yang sederhana hanya menunjukkan bahawa kadar kenaikan harga menjadi lebih perlahan. Oleh itu, kos sara hidup masih perlu diberikan perhatian, khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Dalam hal ini, peningkatan produktiviti pekerja, pertumbuhan gaji benar dan penyediaan peluang pekerjaan berkualiti merupakan antara elemen penting bagi memastikan pencapaian ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
Walaupun prestasi ekonomi negara ketika ini menunjukkan perkembangan positif, beberapa risiko masih perlu dilindungi dengan berhati-hati. Antaranya termasuk ketegangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan global, turun naik harga tenaga serta peningkatan ancaman keselamatan siber.
Sebagai sebuah ekonomi terbuka yang mempunyai hubungan perdagangan antarabangsa yang luas, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan perubahan persekitaran ekonomi dunia.
Sebarang kelembapan permintaan global berpotensi mempengaruhi eksport, pelaburan dan aktiviti pengeluaran domestik.
Sehubungan itu, dasar ekonomi negara perlu mengekalkan keseimbangan antara usaha merangsang pertumbuhan, memastikan kestabilan fiskal dan memperkukuh daya saing industri.
Keutamaan juga perlu diberikan kepada pembangunan teknologi, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah rendah. Namun begitu, kejayaan ekonomi sesebuah negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan KDNK semata-mata.
Ukuran yang lebih bermakna adalah sejauh mana pertumbuhan tersebut dapat meningkatkan pendapatan sebenar, mewujudkan pekerjaan berkualiti, mengurangkan jurang pembangunan dan memperbaik kesejahteraan rakyat.
Akhirnya, kekuatan ekonomi Malaysia bukan sahaja terletak pada keupayaan mencatatkan pertumbuhan yang tinggi, tetapi juga pada kemampuan memastikan setiap peningkatan ekonomi membawa manfaat yang lebih menyeluruh kepada seluruh lapisan masyarakat.



