ARTIKEL

Seni nisan Jatti Miriek terus dipelihara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Keunikan seni ukiran nisan tradisional masyarakat Jatti Miriek terus didokumentasikan dan diperkenalkan kepada masyarakat bagi memastikan warisan bernilai sejarah serta identiti budaya itu tidak dilupakan generasi akan datang.

Usaha itu diketengahkan menerusi Seminar Pemindahan Ilmu: Meneroka Identiti – Seni Ukiran Nisan Jatti Miriek yang berlangsung di Bilik Audio Visual, Pustaka Negeri Sarawak, Miri, hari ini.

Prof. Madya Dr. Yakup Mohd Rafee menunjukkan buku hasil penulisannya berjudul Meneroka Identiti: Seni Ukiran Nisan Jatti Miriek.

Seminar sempena siri Ceramah Sarawakiana anjuran Pustaka Negeri Sarawak itu menghimpunkan lebih 60 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah sekitar Miri.

Perkongsian utama disampaikan penulis buku Meneroka Identiti: Seni Ukiran Nisan Jatti Miriek, Prof. Madya Dr. Yakup Mohd Rafee dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Koleksi buku hasil penulisan Prof. Madya Dr. Yakup Mohd Rafee berkaitan warisan masyarakat Jatti Miriek yang diterbitkan oleh Pustaka Negeri Sarawak, iaitu Budaya Tradisi Kaum Jatti Miriek: Budaya dan Adat Perkahwinan (2018), Seni Ukiran Perkuburan Lama Jatti Miriek (2020) dan Meneroka Identiti: Seni Ukiran Nisan Jatti Miriek (2026).

Buku terbitan Pustaka Negeri Sarawak menerusi Siri Sarawakiana itu mendokumentasikan hasil penyelidikan mengenai sejarah, reka bentuk, tipologi dan motif ukiran nisan kayu tradisional masyarakat Jatti Miriek di kawasan perkuburan lama sekitar Miri.

Dalam pembentangannya, Yakup menghuraikan keunikan seni ukiran berkenaan, termasuk penggunaan motif flora dan geometri serta perbezaan reka bentuk nisan lelaki dan wanita.

Wakil Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Ahmad Samsudin (kanan) menyampaikan cenderamata kepada penceramah, Prof. Madya Dr. Yakup Mohd Rafee.

Beliau turut membandingkan seni ukiran nisan Jatti Miriek dengan tradisi batu nisan lain seperti Batu Aceh dan sunduk masyarakat Bajau, sekali gus memperlihatkan pengaruh sejarah serta perkembangan Islam terhadap pembentukan identiti budaya tempatan.

Seminar itu turut dihadiri Pemanca (Ketua Masyarakat Melayu Miri), Tuan Ujut Abdul Rahman, yang juga Setiausaha Persatuan Jatti Miriek Miri.

Persatuan berkenaan turut berkongsi maklumat mengenai sejarah komuniti, pengetahuan warisan dan kepentingan memelihara tinggalan budaya masyarakat Jatti Miriek.

Para peserta tekun mengikuti perkongsian ilmu yang disampaikan Prof. Madya Dr. Yakup Mohd Rafee sepanjang Seminar Pemindahan Ilmu: Meneroka Identiti – Seni Ukiran Nisan Jatti Miriek di Pustaka Negeri Sarawak, Miri.

Selain mengikuti pembentangan, peserta berpeluang mengunjungi pameran seni ukiran nisan Jatti Miriek di ruang legar Tingkat 1, Pustaka Negeri Sarawak, Miri.

Pameran itu memaparkan dokumentasi visual serta maklumat berkaitan sejarah, reka bentuk dan motif ukiran nisan bagi memberi gambaran lebih dekat mengenai warisan berkenaan.

Penganjuran seminar mendapat sokongan pembiayaan menerusi Geran Pemindahan Ilmu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memperluas perkongsian hasil penyelidikan kepada masyarakat.

Program itu turut diperkukuh menerusi penyelidikan di bawah Islamic Tourism Research Grant (ITRG) yang dibiayai Islamic Tourism Centre (ITC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Penyelidikan berkenaan memberi tumpuan kepada dokumentasi motif ukiran nisan Jatti Miriek sebagai sebahagian daripada warisan Islam tempatan, selain meneroka potensinya dalam pembangunan pelancongan warisan Islam berasaskan komuniti.

Poster.

Kerjasama Pustaka Negeri Sarawak, UPSI dan Persatuan Jatti Miriek Miri itu memperlihatkan kepentingan penglibatan institusi akademik, agensi dan komuniti dalam mendokumentasikan serta memelihara warisan tempatan.

Usaha berterusan menerusi penyelidikan, penerbitan, perkongsian ilmu dan pameran diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mengenali dan menghargai seni ukiran nisan Jatti Miriek agar terus diwarisi.

Prof. Madya Dr. Yakup Mohd Rafee (tengah) bergambar kenangan bersama para peserta dan penganjur selepas seminar berakhir.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Aleysha bawa nama Sarawak ke persada dunia

Bakat muda Sarawak, Aleysha Shareef Van Der Horst, terus mengembangkan kerjaya muziknya di peringkat antarabangsa apabila melancarkan video muzik rasmi single sulung berbahasa Inggerisnya, SHINE

LAKIB bantu 873 penerima menerusi bantuan kebajikan

BINTULU: Seramai 873 individu menerima bantuan perubatan dan pendidikan daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) sepanjang tahun ini, dengan 763 daripadanya merupakan pelajar. Pengerusi