ARTIKEL

Aleysha bawa nama Sarawak ke persada dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Bakat muda Sarawak, Aleysha Shareef Van Der Horst, terus mengembangkan kerjaya muziknya di peringkat antarabangsa apabila melancarkan video muzik rasmi single sulung berbahasa Inggerisnya, SHINE LIKE US, semalam.

Pada usia 13 tahun, Aleysha mula mendapat perhatian pendengar antarabangsa apabila karyanya menembusi beberapa pasaran termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Belanda, Belgium, Mexico dan negara-negara Amerika Latin.

Pelancaran video muzik itu menyusuli kejayaannya mencipta sejarah pada April lalu sebagai artis rakaman termuda Malaysia yang menerbitkan single berbahasa Inggeris untuk pasaran muzik antarabangsa arus perdana.

SHINE LIKE US merupakan hasil ciptaan penerbit muzik Amerika Syarikat yang meraih pengiktirafan multi-platinum, Manny Mijares. Lagu itu dirakamkan di Los Angeles dan menjadi karya pertama Aleysha yang diperkenalkan kepada pendengar antarabangsa.

Video muzik berkenaan diterbitkan agensi produksi tempatan, Kayu Malam Productions, di bawah arahan Mark Nyambang dengan penglibatan tenaga kerja teknikal dan jurukamera tempatan.

Ibu Aleysha, Shirley Hasmani Datuk Eddie berkata, penerbitan video muzik bertaraf profesional itu menjadi langkah penting untuk memberikan identiti visual kepada lagu berkenaan, sekali gus memperluas capaian pendengar.

Menurutnya, keluarga berpuas hati dengan hasil produksi itu dan berharap ia membuka lebih banyak peluang untuk Aleysha mengembangkan kerjaya muziknya di peringkat antarabangsa.

Menariknya, video muzik itu turut mengetengahkan identiti Malaysia dan Sarawak menerusi paparan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Jalur Gemilang serta bendera Sarawak.

Shirley berkata, elemen berkenaan melambangkan asal usul Aleysha serta kebanggaannya sebagai anak Malaysia dan Sarawak yang membawa impian ke pentas dunia.

“Kami mahu penonton melihat bukan sahaja seorang penyanyi muda yang sedang mengejar impiannya, tetapi juga anak Sarawak yang bangga mewakili negeri kelahirannya,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Perjalanan seni Aleysha turut mencatat beberapa kejayaan antarabangsa, termasuk meraih pingat emas dan dinobatkan sebagai Juara Divisyen pada World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2024.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menerima New York Film Academy Scholarship Award sejak pertandingan itu diperkenalkan.

Pada 2025, Aleysha dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan kategori vokal Junior II pada USA Artists of the Year.

Selepas melancarkan SHINE LIKE US pada April lalu, beliau meneruskan perjalanan muziknya dengan single kedua berjudul WINGS pada Ogos.

Bagi Aleysha, pelancaran video muzik sulung itu merupakan pengalaman bermakna yang akan dikenang sepanjang perjalanan seninya.

Beliau turut gembira kerana dapat berkongsi pengalaman berkenaan bersama adik kembarnya, Ryan Zachary, yang turut meminati bidang nyanyian dan membuat penampilan dalam video muzik itu.

“Saya sangat gembira dengan hasilnya dan berharap masyarakat di seluruh dunia dapat menikmati video muzik ini sebagaimana kami seronok menjayakan proses penghasilannya,” katanya.

Dengan dua single asli dan beberapa pengiktirafan antarabangsa, Aleysha terus membina reputasi sebagai bakat muda Sarawak yang berpotensi mencipta nama dalam industri muzik dunia.

BERITA LAIN

Membaca Kesarjanaan Sarawak

Melalui Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 SARAWAK memiliki khazanah sejarah, bahasa, adat, kebudayaan dan alam yang menyediakan ruang luas bagi kegiatan penyelidikan dan kepengarangan.

Fokus jadi pemain lebih baik

PELIBATAN dalam sukan yang asalnya tanpa sengaja, akhirnya membuka ruang dan peluang kepada Husna Qarirah Hamka untuk mencipta nama dalam sukan sofbol. Sukan ini banyak

BERITA TERBARU

LAKIB bantu 873 penerima menerusi bantuan kebajikan

BINTULU: Seramai 873 individu menerima bantuan perubatan dan pendidikan daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) sepanjang tahun ini, dengan 763 daripadanya merupakan pelajar. Pengerusi