ARTIKEL

Muhammad Azeem Mohd Fahmi

Muhammad Azeem Sasar Bebas Kecederaan, Buru Podium Kejohanan Olahraga Asia 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA KANGSAR: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menyasarkan untuk kembali menaiki podium pada Kejohanan Olahraga Asia di China pada Mei tahun depan, selain bertekad mengekalkan kecergasan dan mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan menjelang kalendar sukan 2027.

Pelari berusia 22 tahun itu berkata proses pemulihan beliau kini berada pada tahap 90 peratus di bawah pemantauan pasukan rehabilitasi serta rawatan, dan dijangka kembali menjalani latihan penuh dalam tempoh empat minggu lagi bagi menghadapi kejohanan utama tahun hadapan, termasuk Sukan SEA, Sukan Universiti Dunia serta Kejohanan Dunia.

“Saya rasa kejohanan ini (Kejohanan Olahraga Asia) adalah pentas terbaik untuk saya kembali meletakkan nama di atas podium sebab tahap Kejohanan Olahraga Asia lebih tinggi daripada Sukan Asia. Kali terakhir saya menyertainya pada 2023 dan saya berjaya menamatkan saingan di tempat keempat. 

“Jadi, pada Kejohanan Olahraga Asia 2027, sasaran saya adalah untuk kembali duduk di podium dan mungkin itu akan memberi momentum yang baik menuju ke Sukan SEA dan Kejohanan Dunia pada 2027,” katanya ketika ditemui di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Azeem yang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyifatkan pengurniaan itu sebagai suntikan motivasi terbaik buat dirinya untuk kembali mewarnai arena olahraga negara.

Sementara itu, atlet berbasikal para negara Nur Suraiya Muhamad Zamri yang turut menerima PJK, berazam memperbaiki pencapaian pingat pada Sukan Para ASEAN 2027 serta Kejohanan Berbasikal Para Asia (ACC) 2027.

Pelumba berusia 31 tahun yang memulakan minat dalam sukan berbasikal ketika bersekolah itu berkata beliau kini meneruskan latihan seperti biasa bersama jurulatih sebagai persediaan menghadapi kejohanan trek ACC pada Februari depan.

Nur Suraiya berkata kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi pemangkin semangat untuk beliau melakar keputusan lebih cemerlang di laman sendiri tahun hadapan.

“Sukan Para Asia sebelum ini, saya dapat dua emas dan satu perak. Di KL (Kuala Lumpur) tahun depan, saya nak baiki semula pencapaian saya,” katanya.

Nur Suraiya ketika mengulas pengurniaan PJK buat kali pertama diterimanya itu menzahirkan rasa gembira dan bersyukur atas pengiktirafan negeri Perak terhadap sumbangannya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. – BERNAMA

BERITA LAIN

Kuching City FC Menang Mudah

KUCHING: Kuching City FC meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super 2026/2027 apabila menundukkan Negeri Sembilan FC 2-0 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,

BERITA TERBARU

Tebaloi berpotensi jadi produk premium AirBorneo

DALAT: Makanan tradisional Melanau, khususnya tebaloi, berpotensi menembusi pasaran lebih luas sebagai produk premium, termasuk ditawarkan sebagai makanan ringan dalam penerbangan AirBorneo. Menteri Pembangunan Wanita,