DALAT: Makanan tradisional Melanau, khususnya tebaloi, berpotensi menembusi pasaran lebih luas sebagai produk premium, termasuk ditawarkan sebagai makanan ringan dalam penerbangan AirBorneo.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, usaha memperkasa makanan warisan masyarakat Melanau perlu dipergiat menerusi penambahbaikan kualiti, pembungkusan dan strategi pemasaran.

Menurutnya, tebaloi selama ini dijual pada harga sekitar RM1 hingga RM2 sebungkus, berpotensi dipasarkan pada harga RM5 hingga RM10 sekiranya kualiti penyediaan dan pembungkusannya ditambah baik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Makanan Tradisional Melanau Daerah Dalat 2026 di Tebingan Sungai Dalat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, linut turut berpotensi diketengahkan sebagai hidangan istimewa kepada pelancong yang berkunjung ke Dalat.
Usaha itu boleh dilaksanakan menerusi pengenalan menu set yang menggabungkan linut, sambal, ulam dan ikan bakar bagi memudahkan pelancong menikmati hidangan tradisional berkenaan.
Beliau turut menegaskan kepentingan memelihara dan mendokumentasikan makanan tradisional Melanau supaya warisan itu terus dikenali generasi akan datang.
Dalam perkembangan lain, Fatimah berkata, isu jalan bergelombang dan sempit yang menjadi rungutan penduduk di kawasan Oya-Dalat turut diberi perhatian menerusi projek naik taraf jalan sepanjang 18.2 kilometer dengan peruntukan RM204.75 juta.
Projek itu melibatkan Jalan Oya-Dalat sepanjang 15.72 kilometer dan Jalan Oya Bypass sejauh tiga kilometer yang akan dinaik taraf daripada piawaian R2 kepada R3.
Skop kerja turut merangkumi pembinaan bahu jalan, dua bulatan dan sistem saliran bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna.
Sementara itu, beliau menepis dakwaan di media sosial bahawa kerajaan mengabaikan isu laluan gelap di kawasan Oya dan Dalat, sebaliknya menjelaskan projek pemasangan lampu jalan sudah diluluskan menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Pemasangan 88 tiang lampu di sepanjang Jalan Oya-Dalat dengan peruntukan RM380,000 hampir siap sepenuhnya dan menjalani pengujian pada 19 November lalu.
Bagi kawasan Senau, pemasangan 41 tiang lampu dengan kos RM168,000 dijadualkan siap pada Disember 2026.
Selain itu, pemasangan 399 tiang lampu di laluan Dalat-Kekang dan Dalat-Medong membabitkan kos RM1,494,336.78 dijangka bermula pada Disember ini dan siap pada suku pertama 2027.



