ARTIKEL

Foto: MTUC

MTUC Sarawak mahu semakan gaji minimum beri peningkatan pendapatan nyata

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara mesti diterjemahkan kepada pendapatan lebih baik untuk pekerja, bukan sekadar dinikmati sebahagian pihak.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Zaidi Nasar berkata semakan gaji minimum yang dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 perlu menghasilkan peningkatan pendapatan yang nyata dan bermakna kepada golongan pekerja berpendapatan rendah.

“Pekerja merupakan pemacu utama produktiviti, pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi negara.

“Oleh itu, peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi tidak boleh hanya dinikmati oleh sebahagian pihak, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan serta taraf hidup pekerja yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media berhubung pendirian MTUC Sarawak mengenai semakan gaji minimum yang akan dipertimbangkan kerajaan dalam Belanjawan 2027.

Katanya lagi, pekerja tidak seharusnya terus dibebani peningkatan kos sara hidup ketika produktiviti dan prestasi ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.

“Semakan gaji minimum perlu dilihat sebagai instrumen penting untuk memastikan hasil pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi secara lebih adil dan saksama.

“Pada masa sama, MTUC mengiktiraf kebimbangan majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), berhubung peningkatan kos operasi dan cabaran perniagaan semasa,” katanya.

Jelasnya, sebarang kenaikan gaji minimum boleh dilaksanakan secara berperingkat dan disokong menerusi langkah bantuan bersasar kepada syarikat yang benar-benar memerlukan.

Bagaimanapun, kebimbangan pihak majikan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan usaha meningkatkan taraf hidup pekerja.

“MTUC berpandangan hak pekerja untuk memperoleh pendapatan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan asas diri dan keluarga mesti kekal sebagai pertimbangan utama dalam proses penetapan gaji minimum.

“Diharapkan, kerajaan melalui mekanisme Majlis Perundingan Gaji Negara akan membuat keputusan yang berasaskan data, produktiviti, kos sara hidup dan prinsip keadilan sosial,” ujarnya.

Tambahnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pekerja menerima bahagian yang adil daripada kemajuan ekonomi yang dicapai.

“MTUC Sarawak turut menegaskan kesejahteraan pekerja dan kemampanan perniagaan bukanlah matlamat yang saling bercanggah.

“Ekonomi yang kukuh memerlukan perniagaan yang mampan, tetapi pada masa sama menuntut pekerja menerima pendapatan yang lebih baik, setimpal dengan sumbangan mereka kepada pertumbuhan negara,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU