MUKAH: Abang Ahmad Abang Mantali (qari) dan Alaa’ Ahmad Sayuti (qariah) dinobatkan sebagai johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah 1448 Hijrah/2026 Masihi di Surau Darul Hijrah SPS Kuala Lama, di sini, malam tadi.
Dengan keputusan itu, kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM700 berserta hadiah iringan.
Naib johan bagi kategori qari dimenangi Shahrizal Musa, manakala kategori qariah dimenangi Siti Nurfanisa Shamsudin. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta hadiah iringan.

Tempat ketiga bagi kategori qari dimenangi Mohamad Sait Bom, manakala kategori qariah dimenangi Meryam Bol. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM300 berserta hadiah iringan.
Majlis penangguhan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Sehubungan itu, beliau berharap johan yang akan mewakili daerah ke peringkat seterusnya membuat persediaan rapi dan memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama daerah.

Menurutnya, Majlis Tilawah Al-Quran mempunyai peranan penting dalam memperkukuh nilai-nilai murni.
“Ini termasuk integriti, disiplin, hormat-menghormati, kasih sayang dan semangat kebersamaan.
“Nilai-nilai tersebut merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni serta saling menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Peleadzman menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis tersebut.
Tambahnya, kerjasama erat antara agensi kerajaan, jawatankuasa penganjur dan masyarakat amat dihargai dan diharap dapat terus diperkukuh pada masa hadapan.
Terdahulu, seramai sembilan peserta menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah kali ini.
Peserta terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan.

