
Muktar Mustafar
MUKHTAR MUSTAFA lahir 1955 di Kampung Bakat, Gual Periok, Pasir Mas, Kelantan. Beliau mula menulis sekitar 1975 genre puisi, cerpen dan drama radio.Antalogi cerpen beliau yang pertama bertajuk Wau Bulan Teraju Tiga terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka pada 1980 dengan cerpen Keazaman. Manakala lebih 50 drama radio tersiar di RTM Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan. Beliau terlibat menerbitkan 30 antalogi puisi sejak 1975 hingga 2020.Sekarang beliau giat menyiapkan antalogi cerpen Terpasung dan Siri Memoir Diri Guru Menenun Zaman.Beliau pernah bertugas sebagai pemberita di Bernama dan akhbar rasmi kerajaan negeri, Sinar Kelantan sekitar 1978-1990
MUKHLIS pun bersara. Tetapi persaraan Mukhlis banyak menimbulkan polemik.
Ramai yang mempersoalkan kenapa dia ingin sangat bersara pada umur 56 tahun? Kenapa dia tidak sabar menunggu empat tahun lagi? Kenapa dia tergesagesa membuat keputusan? Sedangkan dia Pegawai Penyelidik Muzium Diraja yang cemerlang.
Ramai juga rakan sekerja Mukhlis meminta dia membatalkan niatnya bersara.
Buah fikiran dan tenaga Mukhlis masih diperlukan oleh Jabatan Muzium Di Raja.
Tetapi Mukhlis tetap dengan keputusannya.
Dia tetap akan bersara awal.
Keputusannya tersimpul mati.
Tidak ada sesiapa pun yang boleh merombaknya kembali.
Sehingga Kurator Muzium itu sendiri, Wan Khamis Wan Halif memanggil Mukhlis bersemuka.
Surat permohohan persaraan Mukhlis masih belum mendapat kelulusan.
Wan Khamis agak keberatan meluluskan permohonan Mukhlis. Wan Khamis merasakan khidmat Mukhlis masih diperlukan lagi di muzium itu.
“Keputusan saya untuk bersara awal muktamad tuan.”
“Saya tidak ada apa-apa masalah dengan tuan atau dengan jabatan.
Keputusan saya ini keputusan peribadi.” Akhirnya Wan Khamis meluluskan permohonan Mukhlis.
Ahli Lembaga Muzium Di Raja memperakukan permohonan persaraan Mukhlis bin Mukhlas, Pegawai Penyelidik Kanan Muzium Di Raja.
Dan orang paling sedih dengan persaraan Mukhlis ialah Wan Khamis.
Dia terasa kehilangan besar. Mukhlis baginya permata yang sentiasa berkilau.
Wan Khamis sedar, Mukhlis pegawai yang berdedikasi dan cekap.
Komitmen beliau dalam satu-satu kerja amat tinggi.
Dan yang lebih penting hasil kerja Mukhlis amat berkualiti.
Sehingga ini tidak ada sesiapa lagi yang mampu menandingi hasil kerja Mukhlis.
Hasil kerja Mukhlis memang bertaraf dunia. Dia membuktikan kehebatannya apabila kerja penyelidikan berkaitan keturunan dan salasilah raja, nik, wan dan Che di negara ini siap dalam waktu yang tepat.
Semua itu sungguh membanggakan.
Kajian yang dijalankan selama tiga tahun secara konsisten menghasilkan sebuah buku Salasilah Keturunan bergelar yang lengkap.
Kerana buku itulah nama Jabatan Muzium Diraja dikenali dan dihormati.
Pihak istana kemudian berkenan menganugerahkan surat kepujian kepada Pengerusi Muzium Diraja.
Pejabat Menteri Besar juga mengutuskan surat ucapan tahniah.
Tapi kenapa Mukhlis tiba-tiba bersara pada saat-saat namanya sedang berada di puncak? Wan Khamis tersesat ketika mencari jawapan pada semua persoalan itu.
Namun, jawapan kenapa Mukhlis bersara awal sedang tersebar di kantin muzium.
Beberapa sosok rakan Mukhlis sedang menjaja jawapannya.
TOHMAHAN
Atau lebih menarik mereka menjaja tohmahan kenapa Mukhlis bersara awal semakin diperkatakan. “Tentu ada sebab Mukhlis bersara lebih awal.”
“Mesti ada sebab yang besar Din,” sambung Mazlan.
“Dia sebenarnya kecewa kerana tak naik pangkat.
Dia dah berkerja begitu lama.
Dia malu pada pegawai yang lebih muda daripadanya.”
Perbualan antara Mazlan dengan Sudin itu kemudian menjadi perbulan di pejabat muzium.
Kemudian mula diviral.
Akhirnya perkhabaran itu sampai ke telinga Wan Khamis.
Kuping telinga Wan Khamis kemerahan.
Kemarahannya menggelegak apabila nama Wan Khamis dikaitkan dengan persaraan awal Mukhlis.
Mukhlis kecewa dengan Wan Khamis yang tidak menyokong kenaikan pangkatnya, berita itulah yang membuat Wan Khamis amat kecewa.
Mukhlis hanya tersenyum apabila menerima khabar itu.
Sambil menunjukkan WhatsApp kepada isterinya, bibirnya sempat berkata, “aku bukan mengejar pangkat.”
Tetapi berita itu terus tersebar.
Tersebar begitu lama.
Setelah khabar itu mula beransur reda, tiba-tiba khabar yang lain pula tidak semenamena meletup.
“Mukhlis bersara awal, kerana dia ada kes.
Kes salah laku.
Dia bimbang kesnya terbongkar dan akan disabit kesalahan.”
“Aku tak percaya,” bahas Hilmi “Semuanya ada bukti dengan tuan Khamis,” Halim mempertahankan kata-katanya.
“Bajet untuk dia membuat penyelidikkan tentang istana lama yang ditinggalkan telah disalah guna.”
“Sebahagian besar wang itu dibelanjakan untuk lawatan ke seluruh negara,” Halim terus berhujah.
Berita ini lebih panas dari berita terdahulu.
Menyala nyala membakar telinga Wan Khamis. Akhirnya Wan Khamis memanggil perjumpaan tergempar untuk semua kakitangan.
Pertemuan kakitangan Jabatan Muzium di Raja juga panas.
Amaran dari kuratornya juga lebih panas dari besi yang dibakar dan disepuh.
“Saya akan membuat laporan polis, jika khabar angin serta tohmahan seperti ini berlaku sekali lagi.” “Awak semua boleh menuduh secara peribadi tentang Mukhlis, tetapi jika melibatkan jabatan, ia dikirasebagai kes serius.”
TUDUHAN
“Untuk makluman semua, persaraan Mukhlis bukan kerana semua itu.
Semua tuduhan itu palsu.”
“Sebenarnya Mukhlis bersara awal kerana ada sebab lain yang tidak boleh saya ceritakan di sini,” Wan Khamis tiba-tiba terhenti bercakap.
“Awak semua akan tahu juga suatu hari nanti.”
Suasana sepi seketika.
Semua mata memerhati Wan Khamis.
“Okey, kita bersurai. Saya berharap perkara yang negatif tidak berlaku lagi di jabatan ini.
Majlis pun bersurai.
Masingmasing keluar dari auditorium muzium itu dengan penuh persoalan dan tanda tanya.
Seperti biasa Mukhlis menerima berita itu dengan senyuman.
Dua bulan selepas persaraanya, Mukhlis datang kembali ke muzium.
Selama satu jam dia berada di bilik Wan Khamis.
Kemudian mereka berdua dilihat berada di kantin.
Semua kakitangan muzium memerhati hal itu dengan kehairanan.
Yang lebih rasa hairan tentulah Sudin, Mazlan, Hilmi dan Halim.
Mereka melihat kehadiran Mukhlis dengan penuh bimbang dan curiga.
Mukhlis akan dipanggil bekerja kembali? Atau Mukhlis sedang disiasat? Keesokan harinya, ruang kantin muzium hingar- bingar.
Terdapat kembali suara sumbang menusuk telinga.
“Tentu dapat projek, kalau tidak haram dia nak pijak pejabat ini lagi.” “Aku kenal siapa Mukhlis.” Berita itu pun sampai ke pengetahuan Wan Khamis.
Wan Khamis hanya tersenyum.
Berita itu juga sampai ke telinga Mukhlis.
Seperti biasa Mukhlis hanya tersenyum.
Mukhlis tersenyum lebih dari hari-hari sebelum ini.
Cek yang diterima dari kerajaan melalui Wan Khamis cukup besar.
RM300,000 amat bernilai bagi Mukhlis.
Sangat berbaloi dengan tugasnya di beberapa buah muzim selama 37 tahun. Amat bernilai untuk cita-cita dan masa depannya.
Cerita kecurigaan rakan setugas dan orang ramai kepada Mukhlis bukan setakat di muzium.
Kisah yang sama pun perlahan-lahan menjalar memasuki rumah adik-beradik, saudara-mara dan orang kampung.
Mereka semuanya melihat keanehan dalam kehidupan Mukhlis.
Mereka semua hairan dengan sikap dan perbuatan Mukhlis.
Kehidupan Mukhlis amat berubah. Mukhlis turun pagi dan balik malam. Mukhlis tidak pernah lekat di rumah. Mukhlis begitu sibuk. Hinggalah satu hari, Hasanah bertanya pada Iris, isteri Mukhlis.
“Mukhlis sudah tidak bekerja, tetapi turun pagi balik malam.
Dia ke mana?” Iris hanya geleng kepala.
“Saya pun tidak tahu Hasanah.
Dia selalu berkunjung ke tempat bangunan lama yang akan dirobohkan.
Pergi ke pasar karat dan pasar malam di seluruh negara.”
Hasanah bertambah hairan dengan tingkah abangnya itu.
Kehairanan itu tambah memuncak, apabila dia teringat setahun yang lalu.
“Tanah dusun dan tapak rumah ini aku serahkan pada kamu Hasanah.
Aku hanya inginkan tanah berbukit itu saja.”
MURAH
Hasanah mula berfikir, kenapa abangnya memilih tanah yang lebih murah dari tanah tempat mereka tinggal sekarang ini. Tanah ini mencecah ratusan ribu ringgit satu ekar.
Tapi tanah bukit itu terlalu murah.
Hasanah menyimpan kemas pertanyaan itu di dalam dirinya.
Tapi Iris menerima segala pertanyaan dari keluarganya dengan sekelumit senyuman.
Dia sebenarnya tahu hasrat suaminya Mukhlis.
Tetapi rahsia mereka suami isteri tetap kejap di hati.
Bil pembelian barang antik bertimbun-timbun di atas meja.
Di kedai kopi Razak juga heboh dengan sikap Mukhlis.
Biasanya dia singgah pagi dan petang.
Tapi sekarang muka pun tidak nampak.
Yang mereka nampak kereta antik Hilman hitam yang memecut ke hulu dan ke hilir.
Pagi dan petang, siang dan malam. Apa sebenar yang dicari oleh Mukhlis? Apa sebenar yang dikejar oleh Mukhlis?
Wang ganjaran telah banyak.
Pencen bulanan agak besar. Ketiga-tiga orang anak sudah berjaya.
Ketika Mukhlis mula membangunkan Bukit Garu, tanah bukit bercerun di tepi Lebuh raya Salor – Tunjung, orang kampung mula merasakan Mukhlis sudah tidak betul.
Tapak rumahnya yang ada sekarang ialah hartanah kelas A, sedangkan tapak tanah yang sedang dia bangunkan sekarang merupakan kawasan yang ketinggalkan dan jauh dari pembangunan.
Membangunkan kawasan itu memerlukan perbelanjaan yang banyak.
Mukhlis mesti membersih hutan.
Menebang pokok balak.
Membina jalan.
Meratakan tapak tanah. “Keraguan mereka itu akan aku lipat dan simpan dalam kehidupan,” Mukhlis kemudian menghidupkan kereta antiknya Hillman hitam dan memecut menuju Bukit Garu.
Ketika dia sampai di Bukit Garu, beberapa pekerja membina pagar konkrit.
Separuh dari kawasan seluas dua hektar sudah siap berpagar dari bahan batu-batu sungai. Kawasan berbukit, lembah dan sungai sudah berubah wajah.
Beberapa bangunan tradisional berbumbung potongan perak, berdinding papan dan berlantai kayu kelihatan sudah siap. Sebahagian besar bahan kayu untuk pembinaan itu diambil dari kayu balak yang ditebang di Bukit Garu.
Manakala batu-batu dari Sungai Garu diguna sepenuhnya untuk membina pagar yang melingkungi seluruh kawasan itu.
Iris sebenarnya tahu di dalam pagar setinggi tujuh kaki itu terdapat empat bangunan.
Tetapi dia tidak tahu bangunan itu untuk apa.
“Semua bangunan untuk apa itu abang? Mukhlis hanya tersenyum sinis. “Rumah kita.” “Sampai empat buah?” tanya Iris. Mukhlis angguk.
ANTIK
Para pengguna lebuh raya juga mulai tertanya-tanya.
Pagar apakah yang sedang terbina seperti Tembok Besar Negeri Cina? Mungkin pagar Istana, kerana terdapat bangunan antik di dalamnya.
Tetapi semua pertanyaan itu tidak terjawab.
Kawasan itu tidak ada sekeping papan tanda.
Pintu pagar utama berwarna hitam kuning sentiasa tertutup dan terkunci.
Hanya bangunan pintu gerbang berbumbung kulitkulit kayu, bertiang batang pohon cengal di kiri kanan berdiri gagah.
Ada kawalan keselamatan yang ketat.
Tidak sesiapa pun dibenarkan masuk, kecuali lori keluar masuk memunggah barang. *** Dewan Pameran Muzium Tradisi penuh sesak dengan para jemputan.
Menteri Seni dan Warisan mula mengambil tempat di pentas.
Juruacara majlis kemudian mempersilakan Mukhlis Mukhlas mengiringi Datuk Seri Suliman Saggarman untuk upacara perasmian.
Tiupan tetuang yang diperbuat dari tanduk kerbau mula kedengaran.
“Dipersilakan Datuk Seri Suliman Saggarman, Menteri Seni dan Warisan untuk memalu gong, yang diperbuat dari tembaga merah sebagai simbolik perasmian Muzium Tradisi milik Mukhlis Mukhlas, mantan Pegawai Penyelidik Kanan Muzium Di Raja.”
Paluan gong sebanyak lima kali bergema menusuk telinga.
Para hadiran bangun dan bertepuk tangan ketika tiupan serunai berirama tradisional berkumandang.
Wan Khamis tersenyum gembira.
Ketika orang ramai sedang bersalaman dan memberi ucapan tahniah kepada Mukhlis, Sudin, Mazlan, Hilmi dan Halim tergaman.
Mereka saling berpandangan.
Mereka seperti tidak percaya.
“Patutlah dia bersara awal,” tersembul kata-kata itu dari bibir Sudin.
Mereka berempat perlahanlahan meninggalkan kompleks muzium.
Mereka tidak mahu bertemu dengan Mukhlis.
Mereka ingin segera meninggalkan kompleks muzium yang mempamerkan pelbagai peralatan tradisional sektor pertanian, kebudayaan, pakaian dan ternakan.
Mereka berempat pun mengatur langkah meninggalkan muzium milik Mukhlis.