ROBAN: Murid asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Roban terpaksa ditempatkan di dewan makan buat sementara waktu ekoran banjir kilat yang melanda kawasan itu, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok, Nur Athirah Batu, berkata tiga kawasan dinaiki air selepas hujan berterusan sejak malam tadi hingga pagi tadi.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih teruk apabila situasi itu bertembung dengan fenomena air pasang.
“Kawasan yang terjejas ialah SK Ulu Roban serta Rumah Panjang Kaya dan Rumah Panjang Sulau.
“Di sekolah, paras air direkodkan setinggi 2.8 kaki dalam keadaan termenung. Justeru, murid asrama ditempatkan di dewan makan sementara menunggu air surut sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa secara keseluruhan, keadaan di ketiga-tiga lokasi masih terkawal dan selamat.
Bagi laluan yang menghubungkan Rumah Panjang Kaya dan Rumah Panjang Sulau, tambah Athirah, sehingga jam 3.30 petang ia masih tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Paras air di kedua-dua rumah panjang itu masing-masing direkodkan setinggi 1.5 kaki.
Tegasnya, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan rendah dan berisiko.




