MUKAH: Musim panas berpanjangan menyebabkan penduduk di kawasan Bukit Inkerbai dan Lubok Bemban berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian.
Keadaan cuaca panas yang berterusan sejak kira-kira dua minggu lalu menyebabkan sumber air semula jadi seperti air hujan semakin berkurangan, sekali gus memberi kesan kepada penduduk yang masih bergantung kepada sumber berkenaan bagi memenuhi keperluan harian.
Tinjauan Suara Sarawak di beberapa rumah panjang mendapati penduduk di kawasan berkenaan terpaksa menggunakan sumber air alternatif seperti air parit dan air sungai untuk aktiviti tertentu, manakala bekalan air minuman pula perlu dibeli atau bergantung kepada bantuan yang disalurkan.
Tuai Rumah George Takin, 39, berkata gangguan bekalan air sememangnya berlaku setiap kali musim kemarau memandangkan penduduk di kawasan berkenaan masih bergantung kepada sumber air semula jadi, khususnya air hujan.

Menurutnya, keadaan menjadi semakin sukar apabila hujan tidak turun dalam tempoh yang panjang, menyebabkan bekalan air untuk kegunaan harian semakin berkurangan.
“Sememangnya bekalan air berkurangan kerana kawasan kami hanya bergantung kepada air hujan untuk keperluan harian. Sekarang sudah kira-kira dua minggu tiada hujan, menyebabkan keadaan semakin sukar.
“Apabila keadaan terdesak, penduduk terpaksa mengepam air sungai untuk kegunaan tandas, namun air sungai yang keruh dan kotor tidak sesuai digunakan bagi keperluan lain,” katanya kepada Suara Sarawak.
Mengulas lanjut, katanya, antara keperluan yang paling terjejas ialah minuman, memasak dan mencuci, manakala penduduk masih boleh menggunakan air sungai untuk mandi dalam keadaan tertentu.

Ujarnya, penduduk perlu menunggu sehingga hujan turun bagi mendapatkan semula sumber air, namun tempoh menunggu itu tidak dapat dijangka, terutama ketika cuaca panas berpanjangan.
“Keadaan ini menyebabkan penduduk sangat cemas dan susah hati kerana air diperlukan setiap hari untuk menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya lagi.
Sehubungan itu, George berharap agar pihak kerajaan mempercepatkan usaha penyambungan bekalan air terawat ke kawasan Bukit Inkerbai dan Lubok Bemban.

Tegasnya, usaha itu bagi memastikan penduduk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber air semula jadi.
“Kami berharap penyambungan paip air terawat ke kawasan kami dipercepatkan kerana kami sangat memerlukannya di sini.
“Dalam masa yang sama, sementara menunggu bekalan air terawat disalurkan, kami berharap kerajaan dapat membantu menyediakan bekalan air minuman dan air tangki, khususnya untuk kegunaan mencuci pinggan mangkuk dan keperluan harian lain,” tambahnya.
Sementara itu, seorang penduduk di Rumah Minggu Garung yang enggan dikenali berkata, penduduk turut menggunakan air parit bagi aktiviti tertentu seperti mandi dan mencuci pakaian serta pinggan mangkuk apabila bekalan air hujan tiada.

Katanya, bagi keperluan minuman, penduduk terpaksa membeli air minuman, manakala bantuan air minuman yang diterima sebelum ini masih belum dapat menyelesaikan sepenuhnya keperluan harian penduduk.
“Kalau terlalu lama panas, memang ada bantuan air minuman, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk kegunaan lain seperti memasak, mencuci dan mandi.
“Jika air parit pula tiada, kami terpaksa menggunakan air sungai. Penduduk yang mempunyai rumah berdekatan sungai agak mudah kerana boleh mengepam air menggunakan ‘generator’, tetapi bagi yang jauh dari sungai, keadaan lebih sukar,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, keadaan penduduk sedikit lega apabila hujan turun dan sumber air kembali tersedia, namun masalah sama dijangka berulang sekiranya musim kemarau berpanjangan.




