ARTIKEL

Jafri ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti dan Inovasi MUT 2026 bertemakan “Membudayakan Integriti, Memacu Inovasi, Melonjakkan Prestasi” di Hotel Hilton Kuching, hari ini. | Foto: Ramidi Subari

MUT perkukuh integriti, inovasi demi tingkat prestasi perkhidmatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Budaya kerja berintegriti yang disokong amalan inovasi bukan sahaja memperkukuh tadbir urus organisasi, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi serta kecekapan penyampaian perkhidmatan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).

Setiausaha Tetap MUT, Datuk Jafri Lias berkata, ketiga-tiga elemen berkenaan saling berkait apabila integriti membentuk budaya kerja, inovasi mengubah pendekatan pelaksanaan tugas, manakala prestasi membuktikan keberkesanan kedua-duanya.

Kata beliau, pembudayaan integriti dalam organisasi memerlukan perubahan sikap, pemikiran dan tingkah laku seluruh warga kementerian.

“Perkara berkenaan termasuk memastikan setiap pegawai mempunyai tahap komitmen yang tinggi, mengelakkan kelewatan dalam pelaksanaan tugas, meningkatkan akauntabiliti dan memastikan setiap keputusan dibuat dengan segera demi kepentingan organisasi serta rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti dan Inovasi MUT 2026 bertemakan “Membudayakan Integriti, Memacu Inovasi, Melonjakkan Prestasi” di Hotel Hilton Kuching, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menambah, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memperkukuh budaya integriti, antaranya kepimpinan melalui teladan, program pengukuhan integriti termasuk pelaksanaan polisi antirasuah dan pembudayaan kerja berpasukan serta lain-lain berkaitan.

Dalam aspek inovasi pula, Jafri memaklumkan, MUT mengamalkan pendekatan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) sebagai asas untuk menghasilkan idea baharu dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau memberitahu, antara inisiatif dan inovasi utama ialah pelaksanaan Pelan Tahunan (Annual Plan) yang diperkenalkan pada 2023 bagi memastikan warga kementerian fokus terhadap sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI), selaras dengan visi dan misi kementerian serta Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menurutnya, kementerian turut memperkemas pengurusan kewangan, pemantauan projek pembangunan, perolehan dan aset menerusi prosedur dalaman, selain menambah baik proses kerja bagi mengurangkan kerenah birokrasi serta memperluas perkhidmatan dalam talian.

Katanya lagi, usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan turut melibatkan pematuhan standard antarabangsa ISO 9001:2015 dan penyediaan platform aduan menerusi WhatsApp Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Talikhidmat Kerajaan Negeri.

Selain itu, tegasnya, pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan membuahkan hasil apabila MUT mencatatkan pencapaian cemerlang dalam scorecard sejak 2024, selain memastikan 100 peratus pembayaran dibuat dalam tahun semasa tanpa tunggakan di bawah AP58(a).

Malah, kementerian turut berjaya mencatatkan kutipan hasil melebihi 100 peratus sasaran selama dua tahun berturut-turut, mencapai sifar Akaun Belum Terima (ABT) sejak 2024 serta memperoleh penarafan lima bintang bagi pengurusan kewangan.

Pencapaian lain tegasnya, termasuk kedudukan tertinggi dalam perbelanjaan peruntukan projek pembangunan RMK-12 pada 2025, pengurusan aset terbaik dalam kalangan agensi pada 2024, penyelesaian 100 peratus aduan melalui Talikhidmat serta pensijilan 54 aktiviti di bawah ISO 9001:2015.

Atas pencapaian itu, MUT turut menerima Digital Excellence Awards 2025 bagi kategori Best Data Trustee Agency Working Groups dan Anugerah Emas kategori kementerian pada Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2025.

Dalam pada itu, Jafri menegaskan bahawa integriti dan inovasi perlu diterjemahkan melalui tindakan serta penambahbaikan berterusan bagi memastikan kementerian terus mencapai prestasi cemerlang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU