ARTIKEL

Bas premium dua tingkat MAN Euro 5 milik Mutiara Borneo.

Mutiara Borneo sediakan perkhidmatan bas ekspres premium

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mutiara Borneo Sdn. Bhd. merancang menambah 10 lagi bas satu tingkat MAN bagi memperluaskan perkhidmatan ke laluan Kuching–Tebedu sebelum diteruskan ke Pontianak, Indonesia, sekali gus memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Borneo.

Pengarah Urusan Mutiara Borneo Sdn. Bhd., Hamdin Morsidi berkata, syarikat itu turut merancang memperluaskan perkhidmatan dari Miri ke Limbang melalui Brunei pada masa akan datang.

Ruang dalaman bas premium dua tingkat MAN Euro 5 milik Mutiara Borneo yang dilengkapi tempat duduk selesa dan ruang kaki yang luas.

Mengulas pelancaran perkhidmatan bas premiumnya, beliau berkata ia menandakan permulaan perjalanan Mutiara Borneo dalam menyediakan perkhidmatan bas ekspres premium kepada rakyat Sarawak.

“Pengenalan bas dua tingkat premium baharu kami yang mempunyai 45 buah tempat duduk membolehkan penumpang menikmati keselesaan luar biasa menerusi tempat duduk ergonomik yang boleh direbahkan.

“Selain itu, bas ini mempunyai ruang kaki yang luas dalam susunan tempat duduk eksklusif 2+1 di tingkat atas.

Lee Kim Shin dan tetamu kehormat merakam gambar kenangan selepas merasmikan Majlis Pelancaran Operasi Bas Premium Pertama Mutiara Borneo di sebuah hotel, di sini, hari ini.

“Digabungkan dengan enjin MAN yang senyap dan lancar serta sistem suspensi bas yang selesa, penumpang boleh berehat sepanjang perjalanan dan tiba di destinasi dalam keadaan segar,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bas sepanjang 12.9 meter itu dikuasakan oleh enjin diesel MAN D26 berkapasiti 12.4 liter yang berkecekapan tinggi, menghasilkan kuasa 440 kuasa kuda dan tork 2,100 Newton meter.

“Enjin yang terbukti berkeupayaan itu memberikan prestasi mencukupi untuk mengharungi perjalanan jauh, cerun curam serta bentuk muka bumi beralun di Sarawak, dengan penggunaan bahan api yang jauh lebih rendah berbanding enjin Euro III generasi terdahulu.

Lee Kim Shin dan tetamu kehormat mengelilingi bandar raya Kuching menggunakan bas premium Mutiara Borneo.

“Enjin itu turut mematuhi piawaian pelepasan Euro V dan Euro VI yang ketat, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih hijau dan mampan,” jelasnya.

Beliau menambah, bas baharu Mutiara Borneo dilengkapi peranti pengehad kelajuan yang mengehadkan kelajuan maksimum kepada 90 kilometer sejam.

“Selain itu, bas ini menggunakan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang merangkumi Sistem Brek Elektronik (EBS), MAN BrakeMatic dengan pengurusan kelajuan maksimum, Sistem Amaran Keluar Lorong dan Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC),” ujarnya.

Ketika ini, katanya, Mutiara Borneo mengendalikan perjalanan harian yang menghubungkan Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri menggunakan enam bas dua tingkat baharu yang dibina berasaskan casis premium jenama MAN dari Jerman.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd., Marc Appelt berkata, pelancaran Mutiara Borneo turut menandakan kembalinya jenama MAN ke pasaran Sarawak.

“Kami pernah menjual sejumlah trak MAN yang memberangsangkan di Sarawak pada awal tahun 2000-an menerusi rangkaian pengedar tempatan.

“Hari ini, kami bersedia memperkenalkan semula trak dan bas MAN generasi terkini yang dilengkapi teknologi canggih serta menawarkan nilai, kecekapan dan kemampanan yang tiada tandingan kepada operator pengangkutan di negeri ini.

“Seiring Sarawak terus membangunkan infrastruktur pengangkutan dan ekosistem tenaga hijaunya, MAN bersedia menyokong aspirasi kemampanan negeri menerusi rangkaian kenderaan berat rendah dan sifar pelepasan yang telah terbukti,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU