KUCHING: Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke dijangka mula dibuka kepada orang ramai menjelang penghujung tahun ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek yang menelan kos kira-kira RM47 juta kini sudah mencapai tahap 86 peratus siap.
“Selepas saja semua siap, kita akan buka kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat ke tapak Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Kontrak bagi Penyediaan Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) Kerja-kerja Struktur Luar Pesisir Tetap untuk Projek Pemampatan F6 VLAP oleh Brooke Holdings kepada Sarawak Shell Berhad di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kewangan Negeri merangkap pengarah BHSB Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dan Naib Presiden Kanan Perniagaan Huluan di Malaysia merangkap Pengerusi Negara Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman.
Menurut beliau, selain menaik taraf tempat bersejarah peninggalan Charles Brooke itu sebagai muzium maritim, ia juga akan dilengkapi dengan tempat riadah termasuk restoran.
“Kita juga telah mengenal pasti beberapa tempat yang harus dikekalkan iaitu tempat kren kerana ia adalah daripada Charles Brooke termasuk bahan-bahan jentera lama yang ada di sini dan ini akan menjadi satu daripada bahan pameran,” katanya.

