KUCHING: Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard di sini, dijangka dibuka pada suku pertama tahun hadapan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata dockyard bersejarah itu, yang ditubuhkan oleh Rajah Kedua, Sir Charles Brooke, memainkan peranan penting dalam pembaikan kapal di Sarawak dan pembukaannya kelak akan menambah sebuah lagi tarikan pelancongan baharu di negeri ini.
“Kami memulakan projek ini dengan visi untuk menaik taraf dan mempamerkan sejarahnya yang kaya. Muzium ini akan memberi pengunjung gambaran tentang warisan perindustrian unik Sarawak dan dijangka dibuka pada suku pertama tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Karim berkata projek penstrukturan semula Kolam Renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kepada taman air dan Pusat Gastronomi Bandar Kreatif UNESCO turut berjalan lancar dan dijangka siap pada suku kedua tahun hadapan.
Jelasnya, pusat gastronomi itu akan berfungsi sebagai hab kreativiti kulinari dan warisan makanan Sarawak serta menyediakan platform kepada chef tempatan mempamerkan kemahiran dan bakat.
“Kementerian saya terus melaksanakan projek-projek utama bagi memudahkan dan meningkatkan industri pelancongan melalui penambahan nilai dan pengalaman,” katanya lagi.
Justeru beliau mendedahkan bahawa antara projek yang telah siap ialah Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace yang dilancarkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 4 Oktober lalu, dijangka menjadikan Santubong sebagai hab pelancongan warisan.
“Taman Arkeologi Santubong menampilkan penemuan bukti industri besi purba, perdagangan maritim dan amalan keagamaan awal dari abad ke-9 hingga ke-14, manakala Pusat Wallace pula meraikan karya naturalis British, Alfred Russel Wallace, dan pembantunya dari Sarawak, Ali, yang menjalankan kajian di rantau ini antara 1854 hingga 1862,” tambahnya.
Sementara katanya, projek pusat kesenian persembahan di bangunan DUN Lama dijangka siap pada suku kedua 2027 dan bakal menggiatkan penganjuran acara seni persembahan di negeri ini.
Selain itu, kata Karim keutamaan turut diberikan kepada pemuliharaan kubu bersejarah seperti Kubu Lili di Betong, Kubu Brooke di Julau, Kubu Emma di Kanowit, Kubu Arundell di Lubok Antu dan Kubu Hose di Marudi.
“Kementerian saya akan terus menjaga aset budaya Sarawak termasuk bangunan warisan yang diwartakan seperti Pejabat Residen dan Daerah Lama Miri serta Muzium Warisan Islam.
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan kepelbagaian produk pelancongan dan memperbaiki pengalaman pelancong secara menyeluruh di Sarawak,” ujarnya.



