KUCHING: Sarawak membuka lembaran baharu industri semikonduktor apabila peluang dalam reka bentuk cip kini diperluas menerusi penganjuran Jerayawara MYChipStart Wilayah Sarawak.
Program anjuran Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) dengan kerjasama SMD Semiconductor ini menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar, jurutera, syarikat pemula serta akademia bagi memperkukuh penyertaan dalam ekosistem semikonduktor negara, khususnya di Malaysia Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, industri semikonduktor kini berdepan jurang inovasi yang semakin melebar berikutan pendekatan lebih berhati-hati dalam kalangan syarikat besar untuk mengambil risiko.
“Situasi ini membuka ruang kepada pemain baharu seperti syarikat pemula, pengasas, modal teroka dan pelabur malaikat untuk muncul sebagai peneraju dalam mencetuskan idea serta penyelesaian inovatif.
“SMD Semiconductor komited merapatkan jurang ini dengan menyediakan platform yang memberi pendedahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat berteraskan inovasi serta komuniti kejuruteraan untuk meneroka potensi dalam reka bentuk dan inovasi semikonduktor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, Program MYChipStart oleh CREST merupakan intervensi nasional yang menyokong pembangunan bakat tempatan, selain melahirkan syarikat reka bentuk cip yang mampu bersaing di peringkat global.
Sementara itu, Pengarah Program Pembangunan Pasaran dan Industri CREST, Dr Muslim Mustapa berkata, pembangunan ekosistem semikonduktor yang mampan memerlukan keseimbangan antara infrastruktur, bakat dan pelaksanaan.
Menurutnya, walaupun Sarawak mempunyai kelebihan dari segi idea dan tenaga mahir, keperluan utama ketika ini ialah laluan pembangunan yang jelas bagi membolehkan sesuatu idea diterjemahkan kepada produk komersial.
“MYChipStart dilihat sebagai platform penting yang menyediakan rangka kerja tersusun untuk membantu syarikat tempatan bergerak daripada peringkat konsep kepada produk yang mampu dipasarkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, program jelajah ini turut menghubungkan bakat tempatan, syarikat pemula dan PKS dengan peluang industri yang lebih luas, sekali gus mengukuhkan kesiapsiagaan Sarawak untuk memainkan peranan lebih aktif dalam rantaian nilai semikonduktor.



