ARTIKEL

SEBAK... Morgan Moset, 39, teringat akan nasib kakaknya sebagai jururawat yang terlibat dalam kemalangan helikopter Doktor Udara yang terhempas di Long Lellang, Baram, Miri semalam. | Foto: GHAZALI BUJANG

Nahas helikopter: Keluarga rindui masakan Debra

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Kepulangan Debra Moset ke Kampung Semadang tidak pernah sunyi daripada aroma masakan, terutamanya rendang daging yang menjadi kegemaran keluarga Moset.

Keharuman masakan itu bukan sekadar hidangan di meja makan, malah menjadi simbol kepulangan Debra yang sentiasa ditunggu-tunggu setiap kali tiba musim perayaan mahupun cuti persekolahan.

Namun, bau harum rendang kian sirna selepas perkhabaran duka mengesahkan Debra sebagai antara lima mangsa dalam nahas helikopter perkhidmatan Doktor Udara (FDS) jenis BO-105 berhampiran STOLport Long Lellang, petang Selasa (8 September).

Adiknya, Morgan Moset berkata, kepulangan kakaknya itu sentiasa membawa kemeriahan tersendiri, malah memberi peluang kepada ibu mereka berehat kerana tugas di dapur diambil alih sepenuhnya oleh Debra.

“Kalau dia balik, mak tidak perlu masak.

Dia yang jadi tukang masak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Semadang di sini, semalam.

Menurut Morgan, kakaknya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu sememangnya gemar memasak, terutama apabila mereka berkumpul menyambut Gawai dan Krismas.

Rendang daging, katanya, adalah hidangan wajib yang disediakan Debra untuk dinikmati bersama seluruh ahli keluarga.

“Dia memang suka memasak. Kalau buat rendang, dia akan masak banyak untuk keluarga.

“Rendang dia paling A, sedap makan dengan lemang,” kenangnya lagi.

Morgan berkata, sehingga kini, dia sukar mempercayai berita bahawa kakaknya merupakan antara mangsa helikopter yang terhempas itu.

Katanya, selagi belum menerima pengesahan, dia masih berharap Debra selamat dan dapat kembali bersama keluarga.

“Susah saya hendak percaya dia antara mangsa dalam helikopter itu.

Saya masih berharap dia selamat,” katanya.

Mengimbas keperibadian Debra, Morgan menyifatkan kakaknya sebagai seorang yang ceria, suka bergurau dan sentiasa mengambil berat terhadap keluarga, selain hubungan mereka yang sangat rapat sejak kecil.

Memandangkan mereka hanya berbeza usia setahun dan pernah bersekolah bersama, pelbagai kenangan manis diukir bersama sebagai adik-beradik.

“Dia kakak yang baik. Kami selalu bergurau dan bertanya khabar.

Kalau berkumpul, memang banyak kenangan kami bersama,” katanya.

Meskipun menetap di Miri bersama suami dan dua anak, Debra yang bertugas sebagai jururawat tetap memastikan masa bersama keluarga di kampung dimanfaatkan sepenuhnya.

Kali terakhir Debra pulang ke Kampung Semadang adalah sekitar bulan lalu dan menghabiskan masa lebih seminggu sebelum kembali menjalankan tugas rasminya.

“Setiap kali dia balik, dia akan masak.

Anak-anak dia lebih suka kari, tetapi kalau untuk keluarga, rendang memang mesti ada,” tambahnya.

Morgan berkata, walaupun mereka tidak dapat berkumpul dengan kerap atas komitmen masing-masing, Debra kekal menjadi perantara yang kerap menghubungi dan bertanya khabar ahli keluarga.

Nahas tragis helikopter BO-105 yang menjalankan perkhidmatan Doktor Udara (FDS) itu turut merangkumi lima mangsa termasuk Debra, juruterbang Kapten Zainol, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta jururawat Jessie Paya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU