ARTIKEL

Mohamed Khaled menjawab pertanyaan media semalam berhubung insiden helikopter terhempas berkenaan. | BERNAMA

Nahas helikopter TLDM Lumut: Kerajaan bakal salur bantuan awal RM10,000 kepada setiap anggota keluarga mangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Malaysia bakal menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak, semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merupakan langkah meringankan beban yang ditanggung.

“Kementerian Pertahanan juga telah menubuhkan tabung khas bagi memudahkan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

“Selain itu, segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah juga ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini turut merakamkan ucapan takziah kepada waris-waris pegawai dan anggota TLDM yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurahkan bakti hingga ke akhir hayat mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Lembaga Siasatan yang ditubuhkan telah diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja dan laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

Dalam kejadian sekitar 9 pagi semalam, dua helikopter yang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas.

Tragedi malang itu mengorbankan 10 anggota dan pegawai.

Sementara itu, proses bedah siasat ke atas semua mangsa yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak dilaporkan selesai pada jam 2.20 petang tadi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU