KUCHING: Sarikei memerlukan kemudahan awam berskala besar bagi memenuhi keperluan masyarakat yang terus berkembang termasuk pembinaan dewan konvensyen baharu, projek perumahan mampu milik serta peningkatan kemudahan kesihatan.
ADUN Repok, Datuk Huang Tiong Sii berkata, dewan konvensyen sedia ada di Sarikei hanya mampu menampung sekitar 1,000 orang, sekali gus tidak sesuai untuk penganjuran program besar yang memberi manfaat kepada pembangunan daerah.
“Jika kemudahan ini diwujudkan, ia akan merancakkan ekonomi setempat dan mewujudkan lebih banyak aktiviti bermanfaat kepada rakyat,” katanya ketika Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Mengulas keperluan sosial, beliau berkata permintaan rumah mampu milik di Sarikei turut meningkat seiring pertumbuhan penduduk dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Keluarga muda dan penjawat awam berpendapatan sederhana kini mengalami kesukaran mendapatkan kediaman yang berpatutan dan projek perumahan mampu milik perlu dilaksanakan dalam fasa tambahan.
“Pelaksanaan projek ini penting untuk memastikan rakyat bereluang memiliki rumah sendiri. Ia juga membentuk komuniti yang lebih sejahtera dan inklusif,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan Klinik Kesihatan Sarikei di Jalan Hospital Lama yang kini beroperasi pada kapasiti maksimum turut memerlukan perhatian segera.
“Sebagai pusat rawatan utama, keadaan sekarang memberi tekanan kepada kakitangan dan menyebabkan kesesakan pesakit. Oleh itu, saya berharap projek pembinaan klinik ini dapat dijadikan keutamaan,” katanya.
Beliau juga menekankan keperluan mendesak untuk mempercepat pelaksanaan projek bekalan air terawat ke Ulu Sungai Rusa, Sarikei.
Menurutnya, sebanyak lapan rumah panjang serta sebuah gereja di kawasan Sungai Mawang dan Sungai Kuap masih bergantung dengan sumber air sungai dan tadahan hujan.
“Justeru, projek tersebut harus disegerakan kerana kualiti air semula jadi tidak terjamin dan boleh menimbulkan risiko kesihatan, terutama kepada kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

