MIRI: Projek pengerukan alur pelayaran Kuala Baram yang dijangka siap hujung tahun ini bakal memperkukuh keupayaan navigasi serta meningkatkan operasi Pelabuhan Miri, sekali gus membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan di kawasan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek tersebut kini berjalan lancar dan berada lebih awal daripada jadual asal dengan tarikh siap kontrak ditetapkan pada Mac 2027. Menurutnya, alur pelayaran yang lebih baik akan menjadi asas penting kepada peningkatan aktiviti perdagangan dan pengendalian kargo, selain menyokong perkembangan perniagaan serta pelaburan baharu di Kuala Baram.
“Dengan siapnya projek ini, Pelabuhan Miri akan mempunyai akses navigasi yang lebih baik dan asas yang lebih kukuh untuk menyokong operasi serta pembangunan masa hadapan. “Ini seterusnya akan melancarkan aktiviti perdagangan dan pengendalian kargo untuk kawasan pedalaman pelabuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-43 Miri Port Authority dan Ulang Tahun Ke-28 Operasi di Miri, di sini.
Sehubungan itu, kerajaan turut memperuntukkan kawasan tanah di Pelabuhan Miri bagi cadangan pembangunan Zon Bebas dan perkhidmatan sokongan pangkalan untuk aktiviti huluan minyak dan gas di perairan Miri.
“Pembangunan berkenaan berpotensi merangkumi pelbagai aktiviti termasuk industri minyak dan gas, pemindahan kargo antara mod, pecah pukal, pengkontenaan, pembungkusan, pemprosesan serta aktiviti import dan eksport semula.
“Usaha ini mampu merangsang aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan aliran kargo melalui Pelabuhan Miri. “Pada masa sama, pelabuhan Miri juga berpotensi berkembang sebagai pelabuhan penting yang menghubungkan perdagangan Sarawak dengan pasaran serantau dan global.
Uggah turut menegaskan, pihak pengurusan Pelabuhan Miri perlu memanfaatkan sepenuhnya alur pelayaran yang lebih baik selepas projek pengerukan siap dengan memperkukuh hubungan bersama pelanggan sedia ada dan berpotensi.
Kerjasama strategik, khususnya dengan sektor minyak dan gas serta industri lain, perlu diperkasa bagi meneroka peluang perniagaan dan pelaburan baharu di Kuala Baram Industrial Estate (KBIE).
Dalam pada itu, Uggah turut menyambut baik pencapaian Miri Port yang menjadi agensi dan pelabuhan pertama di Sarawak menerima pensijilan ISO/IEC 27001:2022 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.
Miri Port turut melaksanakan beberapa sistem pengurusan lain termasuk MS ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah, MS ISO 9001 Sistem Pengurusan Kualiti, MS ISO 45001 Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta MS ISO 14001 Sistem Pengurusan Alam Sekitar.
Justeru, beliau menyifatkan projek pengerukan Kuala Baram sebagai pencapaian penting kepada Pelabuhan Miri dan Bahagian Miri kerana akses navigasi yang lebih baik berupaya meningkatkan penggunaan pelabuhan, merancakkan aktiviti perniagaan serta menarik pelaburan baharu.-TVS



