ARTIKEL

Sekitar rakaman kenangan ketika Abang Johari melawat Masjid As-Salam Marudi selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Regata Baram 2026, hari ini. Foto: UKAS

Naik taraf Masjid As-Salam Marudi RM2.48 juta siap sepenuhnya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MARUDI: Projek menaik taraf Masjid As-Salam Marudi bernilai RM2.48 juta telah siap sepenuhnya melalui tiga fasa pelaksanaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkesempatan melawat masjid berkenaan selepas merasmikan Regata Baram 2026, hari ini. Lawatan itu bagi melihat sendiri hasil projek naik taraf yang telah dijalankan.

Sepanjang lawatan, Abang Johari menerima taklimat daripada Majlis Islam Sarawak (MIS) berkaitan setiap fasa projek yang merangkumi penambahbaikan kemudahan dalaman dan luaran masjid.

Fasa pertama melibatkan peruntukan RM1.47 juta bermula 8 Mac 2021 hingga 24 Ogos 2023. Skop kerja merangkumi pertukaran kubah masjid kepada bumbung Nusantara, pembinaan tangga konkrit bertetulang, mengecat dalaman dan luaran, pemasangan karpet baharu ruang solat dan mihrab, kerja-kerja siling, pembinaan dinding serta tembok parapet, dan pemasangan pagar baharu.

Fasa kedua pula berjumlah RM495,945 meliputi pembinaan dinding dalaman baharu, kerja-kerja pembaikan, pemasangan pintu dalaman, menaik taraf tandas, pengubahsuaian dan kemasan dalaman, sistem penyaman udara serta paip. Fasa ini siap sepenuhnya pada 15 Julai lalu.

Fasa ketiga menumpukan pemasangan dan pentauliahan lampu gantung (chandelier) bagi meningkatkan imej dalaman masjid dengan kos RM197,000. Projek yang bermula 21 Oktober 2025 itu siap pada 29 Jun lalu.

Abang Johari turut meluangkan masa melawat pekarangan masjid bagi melihat sendiri projek yang bakal memperkukuh fungsi Masjid As-Salam sebagai pusat ibadah dan aktiviti komuniti yang lebih selesa, selamat serta memenuhi keperluan masyarakat setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU