KUCHING: Tiket persembahan intim penyanyi Naki di Kafe Bernada, Kuching esok habis dijual dalam tempoh sejam selepas diumumkan menerusi media sosial rasminya pada 7 November lalu.
Persembahan berharga RM20 itu dirancang sebagai hadiah istimewa buat peminat di Kuching yang sebelum ini sering terlepas peluang menyaksikan persembahan seumpamanya kerana kebanyakannya diadakan di Kuala Lumpur.
Naki atau nama sebenarnya Mohd Naqiuddin Zainal Abidin berkata, pemilihan Kuching memberi peluang kepada peminat tempatan menikmati pengalaman lebih dekat dengannya dalam suasana santai.
“Ini persembahan intim pertama kami di Kuching kerana kami mahu memberikan sesuatu yang istimewa kepada peminat di sini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak pada Konsert Manggung di Muara di sini, hari ini.
Persembahan itu hanya menyediakan kira-kira 40 tempat bagi mewujudkan suasana lebih dekat dan mesra antara dirinya dengan peminat.
Beliau bersyukur apabila semua tiket berharga RM20 itu habis dijual dalam tempoh sejam.
Persembahan itu turut menjadi ruang untuk Naki memperdengarkan beberapa lagu baharu yang bakal dimuatkan dalam album mini terbaharunya.
Beliau berkata, album mini berkenaan dijangka dilancarkan pada awal Disember ini selepas pelancarannya yang dirancang pada bulan ini ditangguhkan bagi menyiapkan beberapa bahan tambahan.
Sementara itu, Naki turut dijadualkan membuat persembahan sebagai pembuka tirai Konsert Manggung di Muara, malam ini.
Konsert itu turut menampilkan barisan artis serantau, termasuk Ari Lesmana dan Nadhif Basalamah dari Indonesia, Aisha Retno dari Malaysia serta Aziz Harun dari Brunei.
Bakat tempatan Sarawak yang turut memeriahkan acara itu ialah Adruce Azman dan Shasha Ningkan.


