ARTIKEL

Tadika SeDidik Taman The Hills beroperasi awal 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Tadika SeDidik Taman The Hills di sini dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027 bagi memperluas akses kepada pendidikan awal kanak-kanak, khususnya untuk keluarga yang mempunyai ibu bapa bekerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, pembukaan tadika itu mencerminkan komitmen SeDidik Sarawak memperkukuh penyediaan pendidikan awal kanak-kanak di Betong.

RAZI menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan cilik pada Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak (Zon Betong) Kali Ke-26 di Dewan Panglima Rentap di sini, hari ini.

Pusat berkenaan diharap dapat menyediakan persekitaran pembelajaran terancang dan selamat, sekali gus membantu ibu bapa mengimbangi tanggungjawab pekerjaan dengan urusan keluarga.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak (Zon Betong) Kali Ke-26 di Dewan Panglima Rentap di sini, hari ini.

Razi turut menekankan kepentingan peranan komuniti dalam mewujudkan persekitaran kondusif bagi menjamin kesejahteraan keluarga serta perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.

Katanya, masyarakat turut memainkan peranan aktif dalam membina persekitaran yang selamat, harmoni dan saling menyokong.

“Semangat Segulai Sejalai yang menjadi pegangan masyarakat Sarawak perlu terus diperkasakan menerusi budaya saling membantu dan menyokong, khususnya keluarga yang memerlukan.

“Peranan positif komuniti mampu memastikan anak-anak membesar dalam suasana selamat dan harmoni, sekali gus menggalakkan perkembangan mereka secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar SeDidik Sarawak, Ayub Dahari berkata, sebanyak 110 pusat SeDidik beroperasi di seluruh negeri tahun ini, merangkumi 83 tadika, 25 taska, sebuah pusat jagaan dan sebuah pusat permainan (Play Centre).

Pusat-pusat berkenaan beroperasi di pelbagai lokasi di Sarawak, dari Lundu hingga Lawas, termasuk kawasan pedalaman.

Pada majlis itu, Razi turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada 70 graduan cilik daripada 11 Tadika SeDidik Zon Betong.

Beliau turut melahirkan rasa teruja melihat keceriaan graduan cilik yang tampil segak mengenakan pakaian bertemakan ‘Purple and Lilac’ bagi memeriahkan majlis konvokesyen berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sibu bakal dibangunkan seperti bandar Amsterdam

SIBU: Sibu bakal dibangunkan seperti Amsterdam menerusi perancangan semula bandar secara menyeluruh selepas cadangan Zon Ekonomi Khas (ZEK) Sibu mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk dibangunkan