KUCHING: Lebih ramai wanita di Sarawak perlu digalakkan menceburi politik dan diberi latihan kepimpinan yang sewajarnya bagi mempersiapkan mereka memegang peranan lebih besar dalam kehidupan awam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program-program yang pada asalnya memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan wanita boleh menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai wanita yang bersedia menyertai politik.
“Sudah tiba masanya untuk kita mendapatkan lebih ramai wanita terlibat dalam politik, tetapi mereka perlu dilatih dan mempunyai pemikiran serta sikap yang betul mengenai politik.
“Perkara itu amat penting di Sarawak yang memerlukan lebih ramai wanita tampil mengambil peranan dalam kepimpinan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian PERANTIS Pendaya 2.0 (2026) di Menara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), di sini, hari ini.
Nancy berkata, penglibatan dalam politik tidak seharusnya dilihat sebagai ruang untuk mencetuskan perselisihan, sebaliknya sebagai wadah kepimpinan untuk membawa kepentingan masyarakat.
“Apabila kita masuk politik, bukan bermakna kita mahu berlawan.
“Ia mengenai kepimpinan supaya kita dapat membawa masyarakat bersama-sama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa wanita supaya saling menyokong dan tidak berasa terancam dengan keupayaan wanita lain.
“Jangan apabila ada wanita yang lebih pandai daripada kita, kita berasa takut.
“Itu bukan cara yang betul.
“Sebaliknya, kita perlu bersama-sama berganding bahu untuk maju ke hadapan,” katanya.
Nancy berkata, wanita juga perlu bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman bagi membina kumpulan pelapis pemimpin wanita yang lebih kukuh pada masa depan.

