KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merancang untuk mendapatkan kebenaran daripada organisasi antarabangsa untuk menukarkan terminologi Orang Kurang Upaya (OKU) kepada Orang Kelainan Upaya.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata hal ini kerana istilah tersebut bukan keputusan kerajaan tempatan, tetapi ditetapkan di peringkat antarabangsa.
“Untuk itu, perbincangan dan mesyuarat perlu diadakan dengan pelbagai badan antarabangsa terlebih dahulu sebelum menukarkannya.
“Malaysia hanya mengikut istilah yang ditetapkan secara antarabangsa. Justeru, kita tidak dapat mengubah istilah tersebut serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai menyempurnakan majlis Perasmian Seminar Pendidikan Khas Nasional anjuran NAECCEM di Damai Lagoon Resort, Santubong, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Nancy memberitahu bahawa penggunaan istilah kurang upaya mendapat perhatian dalam kalangan golongan yang mengikuti perkembangan industri OKU.
“Tidak dinafikan bahawa ada dalam kalangan golongan ini sebenarnya bukan kurang upaya, tetapi kelainan upaya dengan memiliki kebijaksanaan masing-masing.
“Oleh itu, terdapat banyak permohonan daripada mereka yang terlibat dalam industri ini supaya terminologi ini boleh diubah kepada kelainan upaya,” jelasnya.


