KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri hari ini menzahirkan rasa dukacita atas kematian tragis seorang penuntut wanita berusia 20 tahun yang ditemui mati di kediamannya di Mutiara Ville, Cyberjaya semalam.
Beliau yang sempat menziarahi keluarga mendiang Maniishapriet Kaur Akhara sebelum bertolak ke Putrajaya berharap siasatan terhadap kes itu dijalankan secara telus dan berintegriti agar keadilan dapat ditegakkan.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang atas kehilangan yang amat mendukacitakan ini.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nancy, jenazah masih dalam perjalanan dari Hospital Serdang ketika beliau bertemu dengan keluarga mangsa.
Sementara itu, siasatan polis mendapati tiada unsur rogol dalam kes berkenaan seperti yang tular sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat hentakan objek tumpul di bahagian kepala.
“Tiada sebarang kecederaan lain yang menunjukkan wujudnya unsur rogol. Polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan kini menjurus kepada kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pihak polis turut mengesan beberapa transaksi pengeluaran wang menggunakan kad ATM milik mangsa yang dilakukan selepas kejadian.
“Sekurang-kurangnya lima hingga enam transaksi dikesan berlaku di sekitar ibu negara.
“Kami sedang berusaha mengenal pasti identiti dan lokasi suspek berdasarkan transaksi tersebut. Antara barang lain yang hilang ialah komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai,” ujarnya lagi.
Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak, merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti di Cyberjaya.
Difahamkan, beliau tinggal seorang diri kerana lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakannya sekitar jam 10 pagi semalam dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

