KUCHING: Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi terus mengunci mulut berhubung spekulasi bahawa beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Beliau berkata, sudah mempunyai gambaran kerusi yang ingin ditandingi, namun enggan mendedahkan perkara itu kepada media.
“Itu sudah menjadi berita, jadi biarkan ia berlalu. Saya ada bayangan, tetapi belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut. Sudah banyak diperkatakan dalam media.
“Saya akan terus memberikan khidmat politik di kawasan. Saya sentiasa aktif dan masih bertenaga,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Kejuruteraan Geoteknik Setantau Malaysia 2026 (MRGEC 2026) di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Nanta yang juga Menteri Kerja Raya dalam laporan berita sebelum ini berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selepas hampir 30 tahun berkhidmat di peringkat Parlimen.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan kerjaya politiknya di peringkat DUN Sarawak sekiranya diberi peluang pucuk pimpinan parti pada PRN akan datang.
Tamat

