KUCHING: Kecekapan seorang wanita menghadapi cubaan samun di kawasan parkir Sentosa Parade, Jalan Penrissen, semalam membuahkan hasil apabila bunyi hon keretanya berjaya menakutkan suspek yang cuba mencekiknya.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, mangsa seorang wanita berusia 39 tahun berada dalam keretanya apabila seorang lelaki tiba-tiba memasuki kenderaannya dan cuba menyerangnya.

“Dalam keadaan cemas, mangsa bertindak pantas membunyikan hon. Ini menarik perhatian orang di sekeliling dan memaksa suspek panik. Suspek segera melarikan diri dari tempat kejadian meninggalkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Irwan menambah, sejurus menerima laporan, Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan digerakkan untuk menjejaki dan menahan suspek.
Beliau berkata, hasil usaha pihak polis, suspek berusia 27 tahun berjaya ditahan pada jam 1 pagi tadi.
“Kenderaan yang digunakan dalam cubaan samun itu turut dirampas. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan samun menggunakan kekerasan atau ancaman,” katanya.



