Nasi Lemak Jambatan Tamparuli pindah Shah Alam

KUCHING: Perniagaan Nasi Lemak Jambatan Tamparuli (NLJT) yang terkenal dalam kalangan warga Kuching, bakal berpindah ke Shah Alam.
Pengusaha NLJT Ustaz Mohd Ali Jainneh berkata, tindakan itu susulan akur dengan tuntutan tugas yang perlu dituruti.
“Saya dan isteri, Nadia Azmi memulakan perniagaan nasi lemak ini sejak awal 2016 di Samarahan.
“Pada awalnya kami hanya menjual 44 bungkus nasi lemak biasa dengan harga RM1 sebungkus,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Menurutnya, sambutan menggalakkan pelanggan mendorong beliau meluaskan perniagaannya.

“Gelaran Nasi Lemak Jambatan Tamparuli ini juga tercetus daripada salah seorang pelanggan yang menyifatkan barisan panjang pelanggan umpama jambatan.
“Dari situ saya mengambil nama Jambatan Tamparuli ini yang merupakan tumpuan pelancong di tempat asal saya di Sabah.
“Dengan menggunakan nama yang terkenal, doa saya pada awalnya mudah-mudahan nasi lemak ini terkenal suatu hari nanti, dan tanpa disangka ia benar-benar terbukti,” katanya lagi.
Menurut Ustaz Ali, meskipun terpaksa menempuhi pelbagai rintangan dalam dunia perniagaan, namun ia dijadikan kenangan berharga buat dirinya.
Tambahnya lagi, perniagaan yang mempunyai cawangan di Taman Desa Imu dan Pasar Malam Metrocity Matang, menyediakan pelbagai pilihan lauk termasuk telur mata, sambal bilis petai, ayam goreng rangup dan beberapa menu lain berbanding sebelum ini.
“Saya berniaga bukan untuk mengejar keuntungan semata-mata, namun atas faktor saling membantu.
Saya sedar tidak semua orang mampu makan di restoran, jadi kami perlu mengambil peranan membantu masyarakat agar dapat berjimat cermat,” katanya.
Menjelas perniagaan sepanjang Covid-19, Ustaz Ali mendedahkan pihaknya hanya bergantung dengan perkhidmatan penghantar makanan seperti Foodpanda dan Grabfood memastikan perniagaan bergerak seperti biasa.
Beliau menasihati peniaga agar sentiasa tabah menghadapi cabaran melanda sepanjang berniaga.
“Untuk masa depan NLJT, saya berharap kami dapat melahirkan staf berkebolehan dan menjadi orang berjaya suatu hari nanti,” tambah beliau.