ARTIKEL

Juara Kategori A, Aniah Lee Bong.

NATCOS 2026 satukan warisan dan patriotisme anak muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Penganjuran pertandingan ratu cantik kanak-kanak Kostum Kebangsaan (NATCOS) 2026, edisi keempat (Warisan Merdeka), berjaya menyatukan pelbagai kaum di satu pentas.

Penganjuran acara yang diterajui pengasas Razz Couture, Razie Ali, mencuri tumpuan ramai apabila menampilkan keunikan busana warisan yang direka khas untuk generasi muda.

Memfokuskan kepada kekayaan tradisi etnik Sarawak dan Semenanjung, menurut Razie, platform ini direka khas dengan pendekatan yang selamat dan positif bagi memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan jati diri bangsa menerusi kreativiti fesyen.

Beliau yang juga pereka fesyen, jurusolek, perancang perkahwinan dan pengurus acara menyuntik kepakarannya untuk memastikan pentas ini bukan sekadar peragaan busana biasa, malah menjadi medan pembelajaran budaya yang bermakna bagi setiap anak muda yang terlibat.

Program ini berteraskan objektif utama untuk memperkenalkan, memelihara serta mempromosikan warisan budaya Malaysia yang tidak ternilai kepada generasi muda agar kekal terpelihara dan tidak luput ditelan zaman.

Juara Kategori B, Nur Qistina Batrisyia.

“Disasarkan khusus untuk kanak-kanak dan remaja berumur antara 4 hingga 17 tahun, Kids Pageant NATCOS 2026 membuktikan bahawa seni tradisi mampu dihayati oleh segenap lapisan umur jika disalurkan melalui platform yang betul.

“Program ini berperanan penting dalam membangunkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, disiplin serta bakat seni kanak-kanak dan remaja tanpa penekanan kepada rupa paras semata-mata,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kenyataan ini membuktikan bahawa fokus utama pertandingan bukanlah kecantikan luaran semata-mata, sebaliknya menekankan proses pembentukan sahsiah dan keperibadian peserta yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.

Juara Kategori C, Sarafina Arisya Jihel.

Di samping itu, ujarnya, pemilihan tema “Pakaian Kreatif Warisan Merdeka” nyata membawa dimensi baharu dalam menyambut kemegahan kemerdekaan negara.

Tema ini, jelasnya, direka khas untuk menghubungkan warna, simbol dan nilai bendera kebangsaan bersama elemen budaya pelbagai kaum yang wujud di Malaysia.

“Keunikan utama tema ini terletak pada penterjemahan semangat dan makna Jalur Gemilang secara kreatif tanpa memotong atau menjahit bendera sebenar secara terus menjadi pakaian, sekali gus mendidik masyarakat tentang tatacara menghormati simbol kedaulatan negara.

“Penganjuran ini berhasil menghimpunkan keindahan warisan Melayu, Cina, India, Sabah serta etnik asli Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu dalam satu persembahan yang cukup memukau dan berwarna-warni,” katanya.

Sesi memperkenalkan diri kepada audien.

Menerusi pendekatan ini, beliau berkata, para peserta dididik bahawa kemerdekaan sebenar bukan sekadar kibaran bendera, sebaliknya dihayati melalui penghargaan yang mendalam terhadap kepelbagaian budaya.

Pembabitan dalam Kids Pageant NATCOS 2026 secara tidak langsung mendorong mereka mempelajari sejarah, memahami asal usul simbol negara serta mendalami adat resam pelbagai kaum untuk menjadi duta muda yang bangga dengan tanah air.

“Bagi menentukan pemenang, kriteria penilaian yang ditetapkan oleh pihak penganjur adalah sangat teliti dan tidak hanya bergantung kepada penampilan visual semata-mata.

“Sebaliknya, pemarkahan merangkumi pemahaman dan penghayatan tema, keyakinan serta sahsiah di atas pentas, kreativiti gabungan elemen bendera dan budaya, kejelasan komunikasi, serta disiplin diri sepanjang pertandingan.

“Walaupun penglibatan ibu bapa dan pereka digalakkan dari segi bimbingan serta bantuan teknikal, penganjur menegaskan bahawa konsep utama dan pemahaman rekaan mestilah milik peserta itu sendiri bagi memupuk keaslian fikiran mereka,” jelasnya.

Para peserta memperagakan rekaan pakaian yang menterjemahkan keindahan warisan pelbagai etnik di Malaysia.

Tambah beliau, keadilan dan ketelusan pertandingan dijamin menerusi pelantikan juri profesional yang bebas daripada sebarang hubungan kekeluargaan dengan peserta. Bagi mengimbangi penilaian bakat dan sokongan ramai, nisbah pemarkahan dibahagikan kepada 85 peratus oleh juri profesional, manakala 15 peratus lagi ditentukan menerusi undian penonton bagi kategori Darling of the Crowd.

Sepanjang penganjuran, pihak penganjur mendepani pelbagai cabaran utama seperti memastikan rekaan sentiasa menghormati adat istiadat dan simbol budaya tanpa menimbulkan salah faham, menyeimbangkan kreativiti bebas dengan kesesuaian umur, menyampaikan maklumat budaya yang tepat serta menguruskan jangkaan ibu bapa.

Namun, kejayaan acara ini diteruskan dengan harapan agar para peserta membawa sikap yakin, hormat dan cinta akan warisan dalam kehidupan seharian mereka.

Sentuhan perincian rekaan busana kreatif yang memukau pandangan juri dan penonton.

Bagi perancangan masa hadapan, Kids Pageant NATCOS berhasrat memperluas penyertaan ke lebih banyak negeri dan etnik, menganjurkan pameran serta bengkel tenunan tradisional, menerbitkan katalog panduan rekaan sebagai rujukan pendidikan dan mewujudkan program jelajah untuk mempromosikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.

Kemuncak acara ini menyaksikan keunggulan bakat muda yang bertanding mengikut kategori. Bagi Kategori A, takhta juara berjaya diraih oleh Aniah Lee Bong, manakala tempat naib juara disandang oleh Aaira Inara Putit. Tempat ketiga dan tempat keempat bagi kategori ini masing-masing dimenangi oleh Shera Aurelia Teo dan Dea Delisha Abdullah.

Saingan dalam Kategori B juga tidak kurang hebatnya apabila Nur Qistina Batrisyia Samsudin dinobatkan sebagai juara, manakala tempat naib juara disandang oleh Cinta Izzara. Tempat ketiga diraih oleh Mehdina Varissha Mohamad Shaiden, manakala tempat keempat menjadi milik Nur Dini Arsyad Bin Nur Muhamad.

Sementara itu, Kategori C menyaksikan gelaran juara diraih oleh Sarafina Arisya Jihel yang memukau para juri, disusuli Nurul Syamilla sebagai naib juara.

Kedudukan tempat ketiga dan tempat keempat masing-masing diraih oleh Cassandra Glesia Christopher dan Mervellynnersty Miszwanna Manau, sekali gus melengkapkan senarai pemenang cemerlang bagi penganjuran Kids Pageant NATCOS 2026 (Warisan Merdeka).

Sentuhan perincian rekaan busana kreatif yang memukau pandangan juri dan penonton.
Sesi persembahan dan komunikasi para peserta di hadapan barisan juri profesional bagi proses penilaian.
Gaya kreatif peserta menterjemahkan warna dan simbol Jalur Gemilang pada busana tanpa memotong bendera sebenar.
Sesi menyampaikan hadiah kepada pemenang.

BERITA LAIN

A. Aida reda filem tiada sambutan

PENERBIT terkenal, Datuk A. Aida menerima dengan hati terbuka hakikat bahawa filem terbitannya, Bisikan Nafsu, tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan selepas mula ditayangkan di

JEP SEPAHTU bayar zakat RM1.93 juta

JEP SEPAHTU sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi 16 resit pembayaran zakat bagi tempoh 2016 hingga 2025 yang menunjukkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.93 juta. Perkongsian

BERITA TERBARU