LIMBANG: Pembinaan Coastal Northern Highway (NCH) bukan sekadar membuka laluan baharu di utara Sarawak, tetapi turut menjadi pemangkin kepada kebangkitan sektor pelancongan hijau di kawasan Limbang dan Lawas.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jaringan jalan pesisir itu bakal mengubah landskap sosioekonomi masyarakat setempat.
“Apabila jalan raya moden dibina, ia bukan sahaja memudahkan pergerakan tetapi membawa peluang ekonomi baharu kepada rakyat,” katanya dalam ucapannya sebelum melancarkan projek berkenaan di Lapangan Rekreasi Limbang, hari ini.
Menurut beliau, NCH akan menghubungkan bandar-bandar utama seperti Limbang dan Lawas dengan kawasan pesisir yang kaya dengan keindahan semula jadi, sekali gus membuka akses kepada lokasi pelancongan berpotensi tinggi.
“Bayangkan, di Brunei ada Brunei Bay, di Lawas juga ada Brunei Bay. Kalau kita bina padang golf dan hotel di kawasan itu tentu ramai akan datang.
“Suasana tepi laut dengan tiupan angin yang segar sambil bermain golf untuk menjaga kesihatan — saya percaya ia akan menjadi tarikan besar,” ujarnya.
Katanya, pembangunan seperti itu bukan sahaja menarik kedatangan pelancong malah memberi manfaat langsung kepada masyarakat tempatan.
“Dengan adanya hotel dan pelancong yang ramai, hasil tempatan seperti ikan tahai pasti menjadi rebutan.
“Ini bermakna nelayan akan mendapat pendapatan lebih, begitu juga keluarga mereka,” jelasnya.
Abang Johari turut berkongsi rancangan jangka pendek kerajaan untuk memperluas jaringan perhubungan ke kawasan pedalaman, termasuk projek jalan baharu dari Miri ke Marudi yang akan diteruskan sehingga ke Long Terawan dan Mulu.
“Tidak lama lagi, dalam masa sebulan, saya akan melancarkan satu lagi jalan dari Miri ke Marudi kerana jambatan sudah siap, tidak perlu lagi guna ekspres.
“Dari Marudi, kita akan sambung ke Long Terawan melalui Long Lama sehingga ke Mulu. Mulu akan bertemu dengan Buda — maka kawasan itu akan menjadi destinasi pelancongan ikonik, boleh diakses dari dua arah,” katanya.
Beliau menegaskan, pembangunan infrastruktur jalan raya seperti NCH dan jaringan Marudi–Mulu bukan sekadar projek fizikal, tetapi satu strategi besar bagi memperkukuh ekonomi hijau dan pelancongan berasaskan komuniti.
“Kita mahu kawasan utara Sarawak menjadi destinasi pelancongan berasaskan kelestarian yang bukan sahaja menonjolkan keindahan alam tetapi juga memperkasakan masyarakat tempatan,” tambahnya.



