ARTIKEL

Negara Asia, Eropah, Timur Tengah bakal sertai GMBF 2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 menjangkakan penglibatan 1,000 orang hadirin dari lebih 30 buah negara termasuk Asia, Eropah dan Timur Tengah.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, forum tersebut bakal menampilkan lebih 60 penceramah terkemuka dari luar dan dalam negara untuk berkongsi mengenai cabaran dan peluang dalam ekonomi Islam.

“Menerusi persidangan ini, kita dapat memastikan dunia Islam supaya menjalin hubungan dan perkongsian yang lebih kukuh, khususnya di Timur Tengah, Asia dan seluruh dunia.

“Seterusnya, forum ini mampu menggalakkan inisiatif berorientasikan hasil dan berasaskan nilai untuk memberi impak sosial dan ekonomi bagi membasmi kemiskinan, selain mempromosi keusahawanan sosial dan usaha perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media Forum Perniagaan Muslim Global di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

GMBF 2023 yang diadakan pada 28 hingga 30 Nov di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) ini bakal memberi peluang kepada pihak kerajaan, syarikat, organisasi antarabangsa, pelabur dan masyarakat untuk membincang dan membahaskan isu-isu utama ini.

Selain, program anjuran Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Strategik KSI untuk Asia Pasifik dan lain-lain ini menyediakan platform yang ideal untuk menghubungkan antara dunia Islam dengan masyarakat bukan Islam.

Sementara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden Indonesia Prof Dr. (Honoris Causa) Kyai Haji Ma’ruf Amin; dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal menyampaikan ucaptama pada pembukaan Makan Malam Gala (28 Nov) tersebut.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU