ARTIKEL

Negara cekal harungi krisis dunia 100 hari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Malaysia kekal dalam kedudukan yang relatifnya kukuh dengan jumlah bekalan bahan api, makanan serta ubat-ubatan penting masih mencukupi susulan pelaksanaan langkah intervensi awal dan pengurusan krisis yang diselaraskan, kata Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Nurhisham Hussein. 

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkata, keutamaan segera kerajaan sejak krisis global itu bermula adalah memastikan bekalan barangan serta perkhidmatan penting tidak terjejas.

“Perkara pertama yang menjadi keutamaan kita adalah untuk memastikan ada bekalan yang mencukupi. Dari segi bekalan bahan api, kita mempunyai stok yang mencukupi sehingga Julai, malah sedang membuat persiapan untuk Ogos.

“Bagi makanan pula, bekalan lebih daripada mencukupi dalam semua kategori utama termasuk beras, ayam, telur, makanan laut, sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebagai mengulas krisis di Asia Barat itu yang kini memasuki hari ke-100.

Menjelaskan selanjutnya, Nurhisham berkata kebimbangan mengenai keterjaminan makanan juga kekal terkawal pada masa ini, dengan sebarang impak ketara daripada gangguan bekalan global hanya dijangka berlaku pada tempoh yang lebih lewat. 

“Bagi produk seperti ayam dan telur, kitaran pengeluaran adalah lebih pantas iaitu sekitar 40 hari dan kita masih menerima bekalan makanan ternakan mencukupi pada harga yang berpatutan. Setakat ini misalnya, tiada sebarang kebimbangan ketara membabitkan aspek bekalan,” katanya.

Dari segi tenaga, Nurhisham berkata kapasiti penjanaan tenaga elektrik Malaysia masih mencukupi meskipun pasaran tenaga global masih tidak menentu.

Jelas beliau, kira-kira satu pertiga usaha penjanaan tenaga elektrik Malaysia adalah gas asli cecair (LNG) dengan sebahagian besarnya dihasilkan dalam negara manakala jaminan import arang batu adalah menerusi kontrak jangka panjang. 

“Pada masa ini, penjanaan tenaga bukan isu bagi kita. Cabarannya adalah dari segi mengurus permintaan, terutamanya tahun ini yang dijangka menjadi tahun yang lebih panas,” katanya. 

Kenyataan beliau itu menyusuli peringatan Jabatan Meteorologi Malaysia atau MetMalaysia dan agensi cuaca global mengenai kemungkinan berlakunya fenomena El Nino lewat tahun ini yang menyebabkan cuaca lebih panas dan kering. 

Merujuk sektor penjagaan kesihatan, Nurhisham berkata lebih 70 peratus bekalan ubat-ubatan dalam sistem kesihatan awam pada masa ini adalah di paras melebihi tiga bulan dan pihak berkuasa sedang memantau rapat sebilangan kecil item yang mempunyai inventori lebih rendah. 

“Kebanyakan ubat yang dikategorikan sebagai kritikal mempunyai rawatan alternatif. Bagi peralatan perubatan, terdapat beberapa bahan habis pakai dengan stok agak rendah namun kita mempunyai pelbagai pembekal dan keadaan masih terkawal,” katanya. 

Selain itu, sambil mengakui krisis itu turut memberi tekanan ke atas sektor tertentu, terutama pembinaan, Nurhisham berkata impak secara menyeluruh terhadap ekonomi Malaysia setakat ini adalah terhad. 

Sektor seperti pembinaan pada awalnya terjejas akibat kenaikan harga bahan api diesel dan kos bahan binaan, namun keadaan sudah beransur stabil apabila harga mereda dalam beberapa bulan lepas. 

Beliau turut menyangkal kebimbangan bahawa krisis itu akan mendorong peningkatan ketara bagi pinjaman kerajaan dan menegaskan kerangka fiskal Malaysia tidak membenarkan tindakan meminjam untuk tujuan pembiayaan subsidi. 

“Subsidi perlu dibiayai menerusi hasil kerajaan, bukannya pinjaman. Sebarang peningkatan defisit fiskal akan sebahagian besarnya mencerminkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan, bukannya pinjaman yang lebih tinggi,” katanya. 

Di sebalik tekanan fiskal tambahan susulan pelaksanaan subsidi bahan api, beliau berkata kerajaan kekal komited terhadap keutamaan pembangunan yang penting. 

Usaha ini membabitkan projek seperti tebatan banjir, bekalan air, penjanaan tenaga elektrik, jalan raya, sekolah dan hospital yang akan diteruskan sebagaimana dirancang. 

“Projek-projek ini tidak boleh ditangguhkan. Keutamaan pembangunan kerajaan kekal tidak berubah kerana kritikal terhadap daya tahan serta pertumbuhan negara bagi jangka panjang,” katanya.

Bagi prospek masa depan, Nurhisham menekankan aspek pengurusan permintaan dan pengurangan sisa adalah kritikal dalam memastikan Malaysia kekal berdaya tahan sekiranya krisis itu berpanjangan. 

Pendekatan yang digalakkan termasuk pengaturan bekerja dari rumah yang praktikal, pengurangan penggunaan elektrik oleh sektor kerajaan, mengehadkan perjalanan tidak penting serta meninjau waktu pembukaan sekolah secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan trafik dan penggunaan bahan api. 

Mengulas keadaan sewaktu 100 hari pertama berlakunya krisis bekalan global, Nurhisham berkata kerajaan kini pada kedudukan lebih baik berbanding peringkat awal apabila jurang maklumat mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan penggubal dasar serta penggiat industri. 

“Pada masa ini, kita mempunyai gambaran lebih jelas. Kita juga ada mekanisme sesuai dan pihak industri juga sedia maklum untuk mendapatkan sumber bekalan, termasuk alternatif domestik. 

“Kita berada dalam kedudukan yang jauh lebih selesa berbanding dua bulan lepas,” katanya. 

Nurhisham juga menegaskan walaupun situasi semasa masih terkawal, usaha dalam bentuk kerjasama berterusan daripada kalangan perniagaan dan pengguna adalah penting dalam memastikan Malaysia dapat mengharungi krisis ini dengan gangguan terhad ke atas pekerjaan, pendapatan serta aktiviti ekonomi. -Bernama

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU