Ngalinuh selamat disemadikan

MIRI: Jasad mendiang bekas Sub Inspektor Ngalinuh Bala 79, selamat dilkebumikan sekitar jam 4.30 petang semalam di Tanah Perkuburan kristian Sidang Injil Borneo (SIB) di Lambir di sini.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan bekas rakan sekerja mendiang hadir di tanah perkuburan untuk pengebumian.

Upacara itu turut dihadiri Timbalan Speaker Dun Datuk Gerawat Gala mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak. Gerawat menyerahkan Jalur Gemilang yang membaluti keranda jasad pahlawan negara itu kepada isteri mendiang Sinah Ngalinuh Bala, 73, selepas diserahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Jasad mendiang dibawa ke Gereja SIB Bukit Kanada untuk penghormatan terakhir dan upacara keagamaan.

Turut hadir bekas TimbaIan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, dan tetamu kehormat Iain termasuk ketua jabatan kerajaan antaranya, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan bekas Panglima Medan Timur Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.

Mendiang Ngalinuh meninggal dunia di Hospital Miri akibat diabetes dan komplikasi paru-paru, jam 6.47 petang pada 23 Jun lalu.

Selain isterinya, pemergian mendiang meninggalkan lima anak, sembilan orang cucu dan seorang cicit. Mendiang penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Kelima Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah pada 6 Julai 1972.

Difahamkan, beliau merupakan salah seorang yang terbabit dalam pertempuran serangan hendap oleh sekumpulan pengganas komunis pada 29 April 1972.

Mendiang yang pada ketika itu berpangkat Koperal bersama empat anggota ditugaskan untuk mengiringi pekerja JKR yang membawa bahan letupan bagi tujuan pemecahan batu dari Batu 14 ke kuari Mubal Batu 54 Jalan Ulu Oya, Sibu.

Ngalinuh menunjukkan keberanian yang luar biasa pada ketika itu apabila bertindak menyerbu ke tempat musuh. Pada akhirnya berjaya membunuh salah seorang pengganas komunis walaupun mengalami kecederaan di paha kanan akibat terkena tembakan daripada pihak musuh.