Seminggu penuh dengan pelbagai aktiviti, cabaran dan detik menarik akhirnya sampai ke penghujung apabila Miss Sarawak Tourism 2026 melabuhkan tirainya.
Seramai 17 nalis menyertai Pageant Week yang berlangsung dari 6 hingga 11 September sebelum saingan kemuncak menerusi Grand Final di Riverside Majestic Hotel Puteri Wing, Kuching pada 12 September lalu.
Ng Ka Sing tampil sebagai pemenang utama apabila dinobatkan sebagai Miss Sarawak Tourism 2026.
Kemenangan itu sekali gus membuka peluang buat Ng Ka Sing membawa nama Sarawak ke pentas Miss Malaysia Tourism 2026.
Turut mendapat tiket ke peringkat nasional ialah Angelyn Grace Talita yang dinobatkan sebagai Miss Sarawak Tourism Global 2026.
Tidak kurang menyerlah ialah Jazlyn Jong Yian Xze apabila berjaya membawa pulang tiga gelaran iaitu Miss Sarawak Tourism Metropolitan 2026, Miss Photogenic dan Miss Popular.
Beberapa nalis lain turut menerima gelaran khas berdasarkan bakat dan personaliti masing-masing.
Natalie Daphne Angeli Ajan dinobatkan sebagai Miss Talent, Phoebe Melody Frazer sebagai Miss Eco Tourism, Emiliannie Uding Layok menerima Tourism Ambassador Award, manakala Yera Jesseca Awing Jacob membawa pulang gelaran Miss Congeniality.
Menariknya, Miss Sarawak Tourism 2026 bukan hanya berkisar mengenai pentas, gaun dan mahkota.
Sepanjang program, para nalis turut dibawa menyertai aktiviti berkaitan pelancongan, komuniti dan alam sekitar.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah program pembersihan terumbu karang di Pulau Satang, Kuching pada 8 September lalu.
Kesemua 17 nalis mengambil bahagian dalam aktiviti selama tiga jam itu pada kedalaman antara tiga hingga 10 meter.
Lebih istimewa, program berkenaan turut menerima pengiktirafan ASEAN & ASIA Records sebagai “First Coral Reef Cleanup Programme Conducted by Contestants of a State-Level Beauty Pageant”.
Dalam pada itu, UCSI University menyediakan bantuan yuran pengajian RM20,000 kepada Ng Ka Sing dan RM10,000 kepada Angelyn Grace Talita sebagai sokongan terhadap pendidikan serta masa depan mereka.
AirBorneo pula menaja tiket penerbangan pergi dan balik kepada kedua-dua wakil Sarawak untuk meneruskan perjalanan di Miss Malaysia Tourism 2026.
Kini, perhatian beralih kepada Ng Ka Sing dan Angelyn Grace Talita untuk membawa nama Sarawak ke pentas nasional.
Lebih daripada sekadar membawa gelaran, kedua-duanya turut menggalas amanah memperkenalkan budaya, warisan dan keunikan Sarawak kepada khalayak yang lebih luas.



