KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan mengagih sumbangan Covid-19 secara terus kepada penerima. Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semua NGO hanya dibenarkan menghantar sumbangan makanan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita tidak boleh biarkan orang bebas keluar rumah atas alasan untuk menghantar makanan,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Menurut Uggah merangkap Pengerusi JPBN, pejabat JKM akan diguna sebagai pusat pengumpulan barang sumbangan.
“Apa-apa sumbangan juga hendaklah melalui Sekretariat JPBN,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, polis menahan seramai 162 individu di seluruh Sarawak kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 25 hingga 29 Mac ini.
Katanya, lapan individu didakwa di mahkamah dengan lima orang dijatuhkan hukuman penjara dua hingga empat bulan dan tiga lagi didenda. “Selebihnya akan didakwa di mahkamah mulai esok hari ini,” katanya.