MIRI: Kawasan Niah berpotensi muncul sebagai destinasi utama penyelidikan sejarah dunia susulan penemuan signifikan penempatan manusia terawal yang dianggarkan sejak kira-kira 60,000 tahun lalu.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penemuan tersebut diperoleh hasil kajian terkini yang dijalankan oleh penyelidik University of Southern Wales, Australia, sekali gus mengangkat Niah sebagai antara lokasi penting dalam sejarah tamadun manusia.

“Penemuan ini menunjukkan satu standard kajian yang sangat tinggi dalam memahami sejarah awal manusia.
“Kita tertanya-tanya bagaimana keadaan manusia kira-kira 60,000 tahun dahulu. Justeru, kajian itu menjadikan Niah sebagai destinasi penting bagi penyelidik sejarah dunia meneroka penempatan awal manusia di bumi ini.
“Inilah signifikannya, dan kita menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan akan menghebahkan penemuan baharu berkaitan Niah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri 2026 yang berlangsung di Stadium Miri, di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Sarawak turut memainkan peranan dalam menghebahkan apa-apa penemuan serta fakta sejarah di Borneo, terutamanya di Niah dari sudut tamadun budaya.
Dalam hal berkaitan, beliau berkata masa depan negeri adalah cerah, namun perubahan tersebut memerlukan pembangunan modal insan yang berkualiti selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS), khususnya dalam aspek sumber manusia dan pendidikan.
Mengulas tentang Program SKS Miri, beliau menegaskan bahawa perpaduan rakyat merupakan asas utama memastikan hala tuju pembangunan negeri jelas dan mampan.
“Sarawak memiliki kekuatan dari segi keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang terus dipupuk melalui interaksi sosial dalam kalangan rakyat.
“Saya berharap Sarawakku Sayang menjadi landasan untuk kita terus berjuang agar negeri ini terus maju dan berperanan dalam pembangunan ekonomi di peringkat ASEAN ,” ujarnya.

