SERIAN: Niat seorang lelaki warga emas untuk menembak tupai bertukar tragedi apabila peluru senapangnya mengenai seorang wanita sehingga maut di Kampung Engkeroh Mawang, Tebekang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun ditembak ketika berada di kebun sayur miliknya dan dipercayai tidak disedari oleh suspek yang berusia 89 tahun.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian berkata, siasatan awal mendapati suspek menyangka terdapat tupai di kawasan kebun itu sebelum melepaskan tembakan.
“Malangnya, tembakan itu terkena mangsa yang berada tidak jauh dari sasaran sebenar. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, suspek kini ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Jelasnya, senjata api yang digunakan mempunyai lesen yang sah, namun atas nama anak suspek.
“Lesen itu sebelum ini didaftarkan atas nama suspek sendiri tetapi dipindahkan kepada anaknya pada tahun 2012.
“Kita juga sedang menyiasat aspek pemilikan senjata api dan bagaimana senjata itu masih berada dalam kawalan suspek,” katanya.
Sehubungan dengan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan mematuhi undang-undang berkaitan penggunaan senjata api bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.




