ARTIKEL

BERCAKAP… Milton menjawab soalan daripada pemberita pada sidang media mangsa penipuan pekerjaan dan pinjaman dalam talian di sini, hari ini.

Niat selesaikan masalah kewangan bertukar mimpi ngeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Niat seorang wanita untuk menyelesaikan masalah kewangan melalui pinjaman dalam talian akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia dan keluarganya menjadi mangsa sindiket pinjaman tidak berlesen yang menggunakan ugutan, pemerasan serta penyalahgunaan data peribadi.

Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo berkata, wanita berusia 47 tahun itu pada asalnya hanya mahu meminjam RM5,000 selepas melihat iklan pinjaman di Facebook sekitar Mac lalu.

Namun katanya, dia kemudiannya diluluskan pinjaman sebanyak RM6,400 yang dimasukkan ke akaunnya secara berperingkat.

“Apa yang pada awalnya dilihat sebagai jalan keluar kepada masalah kewangan, rupa-rupanya menjadi permulaan kepada tekanan berpanjangan,” katanya pada sidang media berkaitan mangsa penipuan pekerjaan dan pinjaman dalam talian di sini, hari ini.

Tambah Milton, tidak lama selepas wang diterima wanita itu diarahkan membayar semula RM8,000 sebelum 3 April, iaitu jumlah yang jauh lebih tinggi daripada pinjaman asal.

Menurutnya, apabila gagal menjelaskan bayaran sindiket berkenaan mula menghubungi ahli keluarganya termasuk abang mangsa di Kuching walaupun nombor telefon keluarga tidak pernah diberikan.

“Bimbang akan keselamatan keluarga serta mahu menghentikan gangguan berterusan, abang mangsa kemudian membuat beberapa bayaran berjumlah RM13,000 kepada pihak berkenaan.

“Sebanyak RM8,000 dibayar terlebih dahulu selepas dijanjikan surat penyelesaian hutang.

Namun, selepas bayaran dibuat, sindiket terbabit menuntut tambahan RM5,000 lagi,” ujarnya.

Milton berkata, walaupun tuntutan kedua itu dipenuhi, ugutan masih berterusan.

Malah, keluarga mangsa sekali lagi diminta membayar RM6,000.

Keadaan katanya menjadi lebih membimbangkan apabila abang mangsa mendakwa menerima ancaman bahawa dua lelaki akan dihantar ke rumahnya sekiranya bayaran tidak dibuat.

“Mereka kemudian tampil membuat laporan polis pada 22 April,” jelasnya.

Menurut Milton, kes ini bukan sekadar melibatkan kerugian wang, namun turut mendatangkan risiko lebih besar yang sering tidak disedari orang ramai iaitu penyalahgunaan identiti dan akaun bank.

Katanya, apabila mangsa menyerahkan salinan kad pengenalan, slip gaji, gambar diri dan nombor akaun bank kepada pihak tidak dikenali, maklumat tersebut boleh digunakan untuk tujuan jenayah lain.

Mengulas lanjut, Milton berkata akaun bank mangsa boleh dijadikan akaun keldai untuk menerima wang hasil penipuan daripada mangsa lain dan jika perkara itu berlaku, pemilik akaun berisiko disiasat pihak berkuasa, akaun dibekukan serta disenarai hitam oleh institusi kewangan.

Katanya lagi, berbeza dengan penipuan dahulu yang sekadar melarikan wang, sindiket masa kini dilihat lebih agresif.

‘’Mereka bukan sahaja menipu, malah terus menekan mangsa dengan ugutan psikologi, memeras wang berulang kali dan menyasarkan ahli keluarga.

Mereka juga pantas menukar iklan di media sosial bagi mengelakkan dikesan.

‘’Sebaik sahaja satu iklan dipadamkan, iklan baharu akan muncul menggunakan nama dan nombor lain,’’ jelasnya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya hanya mendapatkan pinjaman melalui institusi kewangan berlesen dan tidak sesekali menyerahkan dokumen peribadi kepada pihak yang tidak dikenali.

Katanya, satu klik mungkin nampak kecil, tetapi akibatnya boleh menjerat seluruh keluarga.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU