PADAWAN: Kaedah mengukur kadar kemiskinan sebuah negeri perlu dinilai semula dan tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada data eKasih.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, data tersebut mempunyai kelemahan apabila seseorang individu tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai miskin meskipun memperoleh pendapatan tinggi dari hasil jualan pertanian mahupun perniagaan.
Malah, data yang diperoleh daripada Pangkalan Data Utama (PADU) yang berasaskan data eKasih juga tidak menggambarkan realiti sebenar.
“eKasih, walaupun kita seorang petani atau nelayan, tidak ada gaji tetap walaupun boleh mendapat RM10,000 sebulan dikira miskin.
“Sebab itulah kita selalu memberitahu perlu diatur semula. Walaubagaimanapun, kalau peruntukkan yang besar diberikan kepada Sarawak oleh kementerian Rafizi (Kementerian Ekonomi), Alhamdullilah walaupun kita tahu kita negeri kaya, banyak dari segi dana, dia masih hendak memberi, Alhamdullilah bagus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui bual media ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching, Jalan Puncak Borneo, di sini hari ini.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, enam negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis perlu berusaha memastikan jurang kemiskinan antara negeri lain dikecilkan dan tidak hanya mengharapkan peruntukan tinggi terus disalur dari kerajaan pusat.
Beliau berkata, hakikatnya enam negeri tersebut sudah menerima peruntukan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain sejak tahun 2021.
“Saya berharap (usaha) untuk menutup jurang ini tidak diserahkan kepada kerajaan persekutuan semata-mata (kerana) ini tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh kerajaan negeri masing-masing.
“Supaya bila ada hubungan begini baru kita boleh tarik pelaburan dan perniagaan masuk. Kalau semata-mata dilihat untuk menutup jurang (kemiskinan), ini adalah permohonan untuk mendapatkan peruntukan besar daripada kerajaan persekutuan Yang telah berlaku sejak 2021 dan diteruskan hingga sekarang.
“Tetapi tiada tanda-tanda bahawa jurang itu akan dapat ditutup dengan baik. Saranan saya, kerajaan negeri perlu menyambut baik dan mempunyai kerangka ekonomi yang mesra perniagaan yang perlu diusahakan bersama,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

