KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip supaya nisbah perwakilan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak ditingkatkan daripada kedudukan semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang penambahan kerusi Parlimen pada masa hadapan perlu memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak menjadi lebih tinggi dan bukan sekadar mengekalkan nisbah sedia ada.
Menurutnya, perkara itu dipersetujui Jemaah Menteri pada Rabu lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dimaklumkan untuk memulakan proses serta rundingan berkaitan.
“Penambahan Ahli Parlimen itu bidang kuasa SPR.
Maknanya mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung Malaysia, penambahan dari Sabah dan Sarawak.
“Tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak itu harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Tambahnya, mekanisme terperinci berhubung perkara ini akan dibincangkan bersama SPR, kerajaan negeri serta parti-parti berkaitan.
Ditanya sama ada perubahan tersebut dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya akan datang, beliau menjelaskan, perkara itu bergantung kepada proses yang perlu dilalui termasuk keperluan berkaitan Perlembagaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 perlu dilihat sebagai komitmen dan naratif nasional, bukan sebagai isu bersifat sektoral atau kepentingan Sabah dan Sarawak semata-mata.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting supaya seluruh rakyat memahami bahawa usaha memenuhi perkara yang dipersetujui menerusi MA63 merupakan sebahagian daripada komitmen negara untuk memperkukuh Malaysia.




