BINTULU: Orang ramai perlu bijak berfikir agar tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa scammer yang semakin licik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Sehubungan itu, tegasnya, kesedaran mengenai penipuan oleh scammer perlu ditingkatkan.
Malah, beliau menggesa mana-mana individu yang pernah mengalami pengalaman sedemikian atau masih menjadi mangsa penipu, sila buat laporan polis atau hubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC).
“Jika anda pernah mengalami keadaan yang sama, anda digalakkan untuk berkongsi pengetahuan dan strategi penipu kepada rakan dan keluarga supaya mereka lebih berjaga-jaga,” katanya pada tontonan amal filem No More Bets di Ashtar Galatic Cienema (AGC) Bintulu Commerce Square, semalam.
Pang, memuji inisiatif pihak AGC Bintulu Commerce Square dalam menganjurkan program amal tersebut.
Beliau menyifatkan ia sebagai pendekatan terbaik dalam membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk sentiasa berwaspada, sekali gus tidak mudah terjebak dengan taktik-taktik penipuan siber yang berleluasa kini.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai agar jangan berkongsi atau mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, kad pengenalan dan sebagainya kepada individu yang tidak dikenali.
Filem No More Bet diilhamkan daripada kisah benar yang berlaku sekarang ini, berkisar dengan peningkatan jumlah kes penipuan siber.
Jenayah itu juga tersusun dengan baik sehingga menjadi industri yang menjanjikan habuan lumayan, walaupun akan merugikan pihak lain.
Film karya sutradara Ao Shen ini fokus terhadap dua karakter utama, Pan Sheng yang bekerja sebagai pengatur cara dan Anna Liang, seorang model, mangsa sindiket penipuan dalam talian antarabangsa.

