KUCHING: Bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Noriah Ahmad dilantik sebagai Ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pelantikan tersebut sesuai dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh beliau.
“Melihat kepada perkhidmatan yang disampaikan, beliau berjaya memimpin dengan penuh teladan, memberi inspirasi kepada orang lain dan memberikan sumbangan yang berharga kepada kemajuan kementerian kita.
“Begitu juga terhadap agensi di bawahnya termasuk penubuhan Wisma Wanita Training Centre (WWTC), penubuhan Jabatan Wanita dan Keluarga (JWKS) di Bahagian Kuching, Serian, Sarikei, Sibu dan Bintulu; aplikasi e-wanita dan lain-lain.
“Maka, kita sangat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh beliau dalam membawa perubahan baik dalam kementerian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di Wisma Wanita di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Fatimah telah menyerahkan surat lantikan watikah kepada Noriah sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

