Setiap kali Ramadan melabuhkan tirainya dan Syawal menjengah tiba, lagu raya pasti kembali berkumandang di radio, televisyen dan platform penstriman.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dapat diperhatikan satu trend yang jelas, iaitu masyarakat hari ini lebih cenderung memilih lagu raya lama berbanding lagu raya baharu.
Persoalannya, mengapakah fenomena ini berlaku? Adakah industri muzik gagal melahirkan lagu raya yang benar-benar melekat di jiwa atau sememangnya selera pendengar sudah berubah?
Jika kita menelusuri era kegemilangan lagu raya sekitar tahun 1970-an hingga awal tahun 2000-an, kita akan menemui deretan lagu malar segar seperti Suasana Hari Raya, Balik Kampung, Dendang Perantau dan Selamat Hari Raya serta lagu-lagu lain.
Lagu-lagu ini bukan sekadar hiburan bermusim, sebaliknya menjadi sebahagian daripada ritual perayaan itu sendiri.
Lagu tersebut diputarkan berulang kali saban tahun, dinyanyikan bersama-sama keluarga, malah menjadi latar emosi kepada kenangan zaman kanak-kanak.
Kekuatan utama lagu raya dahulu terletak pada melodinya yang mudah diingati, lirik yang tulus serta susunan muzik yang sederhana tetapi menyentuh hati.
Banyak lagu lama mengangkat tema kekeluargaan, kerinduan perantau, kemaafan dan kesyukuran dengan cara yang jujur dan tidak dibuat-buat.
Unsur sayu turut menyelinap di celah kegembiraan sehingga menjadikan lagu tersebut lebih berlapis dan bermakna.
Sebaliknya, lagu raya moden sering dilihat lebih rancak, eksperimental dan berorientasikan trend semasa.
Tidak dinafi kan ada lagu raya baharu yang berjaya mencuri perhatian, terutamanya yang dipopularkan oleh artis terkenal dan diperkukuh dengan strategi pemasaran digital yang agresif.
Namun, banyak juga lagulagu raya oleh sesetengah pempengaruh yang sekadar hangat seperti tahi ayam.
Lagu tersebut meletup untuk satu perayaan sebelum tenggelam apabila perayaan baharu menjelang.
Salah satu faktor utama yang mendorong orang ramai memilih lagu lama ialah unsur nostalgia.
Lagu mempunyai keupayaan luar biasa untuk mengaitkan kenangan dengan emosi.
Apabila seseorang mendengar lagu raya yang pernah berkumandang ketika mereka kecil, hal itu bukan sekadar bunyi yang didengar, tetapi keseluruhan pengalaman yang terimbas kembali seperti aroma rendang di dapur, bunyi mercun di halaman serta pelukan datuk dan nenek yang mungkin sudah tiada.
Dalam dunia yang semakin pantas dan mencabar, nostalgia menjadi ruang yang selamat untuk kembali kepada sesuatu yang lebih stabil dan bermakna.
Lagu raya lama menawarkan rasa keakraban yang sukar ditandingi oleh karya baharu yang belum sempat membina sejarah emosinya.
Selain itu, perubahan landskap industri muzik juga memainkan peranan.
Dahulu, proses penerbitan lagu lebih ketat dan terpilih.
Setiap karya melalui tapisan kualiti yang rapi kerana ruang siaran terhad, iaitu di radio dan televisyen.
Hari ini, dengan kemunculan platform digital, sesiapa sahaja boleh menerbitkan lagu.
Kebebasan berkarya ini positif dari segi peluang, tetapi pada masa yang sama menyebabkan lambakan karya yang tidak semuanya mempunyai nilai komersial dan nilai artistik yang kukuh.
Kita juga tidak boleh menafi kan peranan media sosial yang mengubah cara lagu dipasarkan dan dinilai.
Ada lagu raya baharu yang sengaja dicipta dengan elemen tular, seperti lirik yang mudah dijadikan kapsyen, tarian yang boleh ditiru di TikTok atau konsep video muzik yang mencetuskan perbualan.
Namun, lagu tular tidak semestinya menjamin ketahanan jangka panjang.
Lagu yang benar-benar bertahan ialah lagu yang boleh didengar berulang kali tanpa jemu dan bukan sekadar menjadi trend sementara.
Dalam masa yang sama, cita rasa generasi muda sebenarnya tidak sepenuhnya menolak lagu lama.
Menariknya, ramai anak muda hari ini yang tidak melalui era kegemilangan lagu klasik tetap memilih untuk menambahkannya dalam senarai main raya mereka.
Hal ini menunjukkan kualiti muzik melangkaui faktor usia.
Melodi yang baik dan lirik yang menyentuh perasaan akan sentiasa relevan walaupun zaman berubah.
Namun begitu, tidak adil untuk menyimpulkan semua lagu raya moden gagal menambat hati. Setiap generasi pasti mempunyai karya yang menjadi wakil zamannya.
Cuma, mungkin lagu tersebut memerlukan masa untuk membina nilai sentimental seperti yang dinikmati oleh lagu terdahulu.
Yang hari ini dianggap biasa mungkin dalam tempoh dua dekad akan datang menjadi lagu wajib setiap kali menjelang Syawal.
Akhirnya, pilihan terhadap lagu raya lama atau baharu mencerminkan hubungan peribadi seseorang dengan kenangan dan emosinya.
Lagu lama dipilih bukan semata-mata kerana lebih baik, tetapi kerana sudah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup pendengarnya.
Lagu baharu pula masih dalam proses membina sejarah tersebut.
Dalam hiruk-pikuk perubahan zaman, mungkin yang kita cari setiap kali Syawal menjelma bukan sekadar irama baharu, tetapi rasa yang pernah kita miliki, iaitu rasa pulang, rasa dimaafkan dan rasa bersamasama.
Buat masa ini, bagi kebanyakan orang, rasa itu masih lebih mudah ditemui dalam bait lagu raya terdahulu.



